Carian
April 25, 2021

Syed Saddiq Usah Jadi 'Laskar Maya' Murahan

Saya terbaca kenyataan Syed Saddiq Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar, berhubung pendirian beliau yang menentang sebarang usaha kerjasama antara Presiden Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan individu tertentu daripada UMNO yang beliau sifatkan sebagai pemimpin kleptokrat.

AMK merasakan terjahan Syed Saddiq terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim ini amat pramatang dan dangkal setelah Dato Seri Anwar Ibrahim berulang kali menyatakan bahawa tidak wujud sebarang usaha rasmi seperti yang didakwa.

Secara terbuka juga Presiden Keadilan telah menegaskan bahawa yang ada hanyalah sekadar pertemuan-pertemuan tidak rasmi bersama kepimpinan daripada pelbagai parti dalam rangka usaha Pakatan Harapan mengambil alih semula tampuk kepimpinan Kerajaan daripada Kerajaan pintu belakang.

AMK juga tertanya-tanya mengapa secara tiba-tiba Syed Saddiq melancarkan serangan ini terhadap Presiden Keadilan.

Nada kenyataan Syed Saddiq ini juga sangat seiring dengan kenyataan beberapa pemimpin Perikatan Nasional yang cuba menyerang Dato' Seri Anwar Ibrahim melalui isu yang sama. AMK percaya ini adalah langkah terdesak untuk menggagalkan usaha Dato' Seri Anwar Ibrahim membentuk semula Kerajaan Pakatan Harapan.

AMK menasihatkan Syed Saddiq agar tidak menjadi sebahagian daripada juru bicara Perikatan Nasional dengan membuat dakwaan tanpa asas yang jelas dan kukuh.

Dalam masa yang sama AMK juga ingin menggesa Syed Saddiq agar konsisten menolak sebarang anasir kleptokrasi.

Setelah apa yang didedahkan oleh YB Senator Liew Chin Tong baru-baru ini mengenai sikap Tun semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan, tidak kedengaran suara Syed Saddiq dalam menegur atau menyerang Tun Mahathir.

Hanya kerana Tun Mahathir tidak pernah didakwa oleh mana-mana mahkamah, tidak bermakna sejarah pentadbiran beliau yang dikotori dengan pelbagai pencabulan demokrasi boleh dipadamkan begitu sahaja.

Sekian.

Syukri Razab
Setiausaha
AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up