Carian
June 15, 2022

Keputusan Bantahan Awal Petisyen Pilihan Raya Bagi DUN N51 Bukit Batu

Hari ini ditetapkan keputusan Bantahan Awal (Preliminary Objection) terhadap kes Petisyen Pilihan Raya Negeri Johor, DUN N51 Bukit Batu yang difailkan oleh Suppayah A/L Solaimuthu, calon Barisan Nasional terhadap Chiong Sen Sern, calon Parti Keadilan Rakyat.

Pilihan Raya Negeri Johor telah berlangsung pada 12 Mac 2022. Keputusan Pilihan Raya di DUN N51 Bukit Batu berpihak kepada Chiong Sen Sern dari Parti Keadilan Rakyat yang telah memperoleh 9439 undi berbanding dengan Suppayah A/L Solaimuthu yang memperoleh 9302 undi. Keputusan ini memberikan Chiong Sen Sern kemenangan di DUN 51 Bukit Batu dengan majoriti 137 undi.

Petisyen Pilihan Raya telah difailkan pada 5hb April 2022. Sehubungan itu, barisan peguam yang mewakili Chiong Sen Sern telah mengemukakan bantahan-bantahan awal terhadap Petisyen Pilihan Raya tersebut atas alasan ketidakpatuhan yang serius terhadap undang-undang berkenaan dengan Petisyen Pilihan Raya.

Bantahan bantahan awal tersebut telah dihujahkan pada 30hb Mei 2022 di hadapan Yang Arif Tuan Azizul Azmi bin Adnan.

Pada hari ini, Mahkamah Pilihan Raya telah memutuskan untuk menerima bantahan-bantahan awal yang dikemukakan oleh barisan peguam kepada Chiong Sen Sern dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seterusnya membatalkan Petisyen Pilihan Raya tersebut. Mahkamah Pilihan Raya selanjutnya memerintahkan supaya Pempetisyen membayar kos sebanyak RM 30,000.00 kepada Responden Pertama (Chiong Sen Sern) dan RM30,000.00 kepada Responden Ke-2 dan Ke-3 (SPR).

Alasan-alasan penghakiman yang lebih terperinci akan dimuatnaik oleh pihak Mahkamah Pilihan Raya di laman sesawang rasmi Kehakiman pada masa terdekat.

Chiong Sen Sern telah diwakili oleh barisan peguam iaitu Manivanan Gowin, Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye.

Terima kasih.

BIRO GUAMAN
JABATAN PILIHAN RAYA PUSAT
PARTI KEADILAN RAKYAT

Related Posts
crossmenuchevron-up