Carian
September 25, 2021

Malaysia Perlu Dilihat Berkecuali Dalam Kontroversi AUKUS

Cadangan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada hari Rabu berkenaan lawatan kerja ke China bagi membincangkan pakatan AUKUS (Australia,United Kingdom, dan Amerika Syarikat) dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

Beliau berkata, “Kita perlu mendapat pandangan kepimpinan China, khususnya dalam aspek pertahanan, berhubung AUKUS.”

Berkenaan AUKUS, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan telah menzahirkan kebimbangan bahawa perjanjian itu telah meningkatkan suhu geopolitik di rantau ini. Kerajaan Indonesia juga berkongsi pendirian yang sama.

Biarpun pendirian rasmi kerajaan Malaysia, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, dan Menteri Pertahanan, yang menyatakan kebimbangan bahawa AUKUS bakal mencetuskan persaingan senjata di rantau ini, adalah selari dengan pendirian Pakatan Harapan, kenyataan Hishamuddin adalah salah sama sekali.

Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanannya yang telah diluluskan di Parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019. Salah satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan adalah "Keneutralan aktivis", iaitu "mengamalkan dasar berkecuali dan mempromosikan kerjasama dengan memberi penekanan terhadap keterangkuman dan perkongsian kemakmuran, seiring dengan perkongsian keselamatan dan perkongsian identiti”(Hlm. 39).

Keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.

Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini. Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan ASEAN di rantau ini.

Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak.

MENYELAMATKAN NEGARA MEMULIHKAN DEMOKRASI

YB MOHAMAD BIN SABU (AMANAH)
YB DATO JOHARI ABDUL (KEADILAN)
LIEW CHIN TONG (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up