Carian
June 1, 2021

Usaha Dwipartisan Demi Memelihara Kedaulatan Ruang Angkasa Negara

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan memandang serius kenyataan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini yang mengesahkan bahawa 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) telah memasuki Zon Maritim Malaysia (ZMM), khususnya memasuki Wilayah Maklumat Penerbangan (Flight Information Region) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Menurut TUDM, pesawat PLAAF tersebut dikesan menerusi radar pertahanan udara pada jam 11.53 pagi, dan gagal mematuhi arahan untuk menghubungi kawalan trafik udara FIR Kota Kinabalu. TUDM seterusnya menggerakkan pesawat pejuang ringan Hawk 208 daripada No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan setelah pesawat PLAAF tersebut melangkaui ruang udaranasional.

Pesawat-pesawat tersebut telah dikenalpasti sebagai jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xi’an Y-20; kedua-duanya merupakan pesawat pengangkut berat.

Insiden ini mengancam keselamatan penerbangan, mencabar kedaulatan negara, dan menjejaskan hubungan antarabangsa. Mengikut Strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH),
tanggungjawab memelihara keselamatan negara bukan sahaja terletak atas bahu anggota keselamatan semata-mata tetapi juga seluruh warganegara Malaysia.

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) mencadangkan bahawa Menteri Pertahanan mengadakan sesi taklimat khas dwipartisan yang melibatkan pihak kerajaan dan
pembangkang untuk menjelaskan langkah-langkah seterusnya dan keperluan ATM semasa untuk mencegah pencerobohan yang lain. Kerajaan harus mengemukakan rancangan tindakan
yang jelas dan juga membenarkan ahli-ahli Parlimen membincangkan insiden mustahak ini demi kepentingan negara.

JKPH akan menulis kepada Menteri Pertahanan untuk menganjurkan taklimat rasmi bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara bagi menghadapi isu kedaulatan negara secara bersama.

Sekali lagi, insiden ini jelas menunjukkan bahawa walaupun dunia dilanda wabak COVID,ancaman konvensional terhadap negara tetap menjadi duri dalam daging negara kita.

Oleh itu,sangat penting bagi pihak kerajaan untuk melaksanakan program pemodenan ATM berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019 dengan kadar segera.
YB MOHAMAD BIN SABU (AMANAH)

YB DATO JOHARI ABDUL (KEADILAN)

YB SENATOR LIEW CHIN TONG (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up