Carian
January 5, 2022

Zaman Mahathir sudah berlalu, bukan Anwar

1. Kenyataan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu wawancara kononnya era kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berlalu, bahkan katanya, turut dipertikaikan oleh kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) merupakan pandangan yang tidak berdasarkan fakta.

2. Faktanya pemimpin kanan PH seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu masih menerima DS Anwar sebagai Pengerusi PH.

3. Kritikan pemimpin lapisan bawah dalam komponen PH tentunya tidak boleh dihindari, malah dalam parti parti besar seperti Umno dan Pas pun pemimpin bawahan atau parti komponen lain dalam koalisi bebas mengkritik.

4. Di dalam KEADILAN pula sokongan padu ditunjukkan kepada kepimpinan DS Anwar sama ada dalam kalangan kepimpinan utama, sayap wanita mahupun Angkatan Muda KEADILAN.

5. Sebaliknya Mukhriz Mahathir harus mencermin diri, bukankah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu beliau dan Tun Mahathir Mohamad bertanding menggunakan logo KEADILAN? Bertanding 52 kerusi menang 13 sahaja manakala parti DS Anwar meletakkan 51 calon dan menang 50 kerusi.

6. Kecelaruan politik hari ini faktanya bukan disebabkan oleh kepimpinan Anwar tetapi tindakan Tun Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri. Sekiranya berlaku peralihan kuasa kepada DS Anwar pada awal 2020 lalu tentunya kerajaan PH masih wujud sehingga kini dan mampu menunaikan janji janji manifestonya.

7. Manakala kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak tidak boleh dijadikan ukuran tahap populariti DS Anwar. Hal ini kerana dua PRN itu memang dirancang oleh pemerintah untuk menghadkan keupayaan PH mengumpulkan rakyat dalam siri ceramah umum sebagaimana sebelum ini

8. Ceramah umum sejak 1998 telah menjadi pentas penggerak utama sokongan rakyat. Rakyat yang berhimpun diberi penerangan mengenai situasi semasa negara. Dalam aksi ceramah, tiada tokoh yang lebih berpengaruh berbanding DS Anwar di dalam PH. Tentunya apabila ceramah umum ditiadakan maka pengaruh DS Anwar dan seterusnya PH akan malap.

9. Hal ini sepatutnya diteliti oleh Mukhriz sebelum mengkritik DS Anwar. Malah beliau sendiri pun mendapat kelebihan dalam PRU ke 14 lalu daripada tindakan PH mengumpul sokongan rakyat melalui siri ceramah umum

10. Bagi KEADILAN, pengaruh DS Anwar tidak berkurangan dan kekal layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke 10. Sebaliknya kepimpinan Tun Mahathir yang sudah tenggelam dan jauh dari hati penyokong PH dan rakyat apabila beliau gagal menyerahkan kuasa kepada DS Anwar pada 2020 lalu

11. Tindakan menghancurkan harapan rakyat dari Tun Mahathir inilah yang perlu dikaji oleh Pejuang akan kesannya kepada prestasi parti itu untuk muncul sebagai parti yang mempunyai taring dalam PRU 15 kelak.

Dato' Johari Abdul
Ahli Parlimen Sungai Petani

Related Posts
crossmenuchevron-up