Carian
July 6, 2023

PERSEDIAAN KEADILAN MENGHADAPI PILIHAN RAYA NEGERI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 12 Ogos 2023 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya yang akan berlangsung di enam negeri. KEADILAN melalui Jawatankuasa Pilihan Raya Parti telah memulakan persediaan rapi bagi memastikan kemenangan calon-calon KEADILAN yang bakal bertanding. 

1. JELAJAH MADANI KEADILAN 

KEADILAN telah mula menggerakkan “Jelajah Madani” ke kawasan-kawasan tumpuan yang bermula pada 4 Julai di Sikamat, Negeri Sembilan. Walaupun dalam keadaan hujan lebat, lebih 1000 orang terus setia mendengar penerangan yang saya sampaikan sehinggalah program selesai. 

Jelajah pertama di Sikamat ini juga diikuti secara langsung oleh 5,000 pelayar dalam talian melalui pelbagai platform media sosial. Sambutan yang menggalakkan ini setara dengan sokongan rakyat sewaktu KEADILAN memulakan kempen semasa Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu. Ini membayangkan momentum sokongan yang akan terus memuncak menjelang hari mengundi. 

Dengan tema “Malaysia Madani”, jelajah ini menjadi platform untuk kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menerangkan kepada orang awam mengenai usaha- usaha dan pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dalam tempoh 8 bulan memerintah. 

Dengan lambakan info di media sosial, saya percaya jelajah ini menjadi saluran terbaik untuk masyarakat mendengar sendiri dan mendapatkan maklumat tepat daripada kepimpinan yang turun ke lapangan. 

Justeru saya menjemput seluruh masyarakat awam dan rakan-rakan pengamal media untuk hadir ke Jelajah Madani ini yang akan dijalankan mengikut jadual berikut : 

Jadual Jelajah Madani

2. PELANCARAN SERENTAK JENTERA DAN BILIK GERAKAN KEADILAN 

Bagi memastikan jentera KEADILAN di peringkat akar umbi bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ogos ini, KEADILAN juga akan mengadakan Majlis Pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan secara serentak di semua DUN-DUN yang bakal ditandingi KEADILAN. 

Program ini akan berlangsung secara serentak pada 7 Julai bagi Negeri Kelantan dan Terengganu, 8 Julai bagi Negeri Kedah dan Pulau Pinang dan 9 Julai bagi Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. 

Majlis pelancaran ini akan bermula jam 9 malam dan terbuka untuk dihadiri masyarakat sekitar. Acara kemuncak program ialah penyerahan bahan-bahan kempen oleh wakil kepimpinan pusat KEADILAN kepada Pengarah Pilihan Raya KEADILAN bagi DUN yang berkenaan. 

3. PROSES PERMOHONAN, SARINGAN DAN PEMILIHAN CALON KEADILAN 

Bermula dengan Pilihan Raya Umum ke 15 yang selalu, KEADILAN telah memulakan satu proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif. Dengan cara ini KEADILAN dapat meyakinkan bakat-bakat dalam kalangan anggota parti dan rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat melalui platform KEADILAN. 

Proses yang telus ini juga penting bagi meyakinkan pengundi bahawa KEADILAN sebagai sebuah parti reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan berwibawa. 

Oleh itu bagi menghadapi Pilihan Raya yang akan berlangsung di enam negeri pada Ogos ini, saya menjemput mana-mana anggota KEADILAN yang ingin menawarkan diri sebagai calon KEADILAN untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Parti. 

Seperti praktis dalam Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu, proses pemilihan Calon KEADILAN dibuat dengan kaedah-kaedah berikut : 

Permohonan Individu. 

Mana-mana anggota KEADILAN yang berminat boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org. Borang ini boleh diakses bermula hari ini, 6 Julai 2023 sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai 2023, jam 5 petang. 

Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah individu yang memohon mestilah anggota KEADILAN yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis yang telah disahkan oleh Jabatan Insolvensi, tidak memiliki rekod jenayah (selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat) dan individu tersebut mesti mengisytiharkan harta serta bersedia untuk menandatangani bon ikrar setia sebagai Wakil Rakyat KEADILAN. 

Permohonan Organisasi 

Kepimpinan KEADILAN di semua peringkat juga boleh menamakan calon-calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat. Proses ini terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi KEADILAN, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan juga Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) KEADILAN. 

Penamaan calon-calon oleh Cabang, MPAMK atau MPWP ini perlu dibuat secara rasmi dan disahkan melalui minit mesyuarat yang ditandatangani oleh semua ahli mesyuarat yang hadir. Minit mesyuarat ini perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Calon selewat- lewatnya pada jam 5 petang,10 Julai 2023. 

Perlu diingatkan bahawa semua nama yang dicalonkan oleh organisasi ini tetap perlu mengisi secara individu borang dalam talian kerana borang ini akan menjadi sumber utama untuk JPRP mendapatkan senarai calon. 

Proses Saringan 

Memahami sentimen pengundi yang mahukan parti-parti menampilkan calon yang berkualiti, KEADILAN telah menetapkan sebuah proses saringan Calon yang adil dan telus. Proses saringan ini akan dikendalikan oleh sebuah Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh saya selaku Pengarah Pilihan Raya dan dianggotai oleh semua Naib-Naib Presiden KEADILAN seramai 7 orang. 

Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Parti, kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak Presiden KEADILAN. Justeru Jawatankuasa Calon bertanggungjawab untuk membuat penapisan dan menyenarai pendek 3 calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden KEADILAN yang seterusnya akan memuktamadkan satu nama sebagai calon. 

Sekian, terima kasih 

Rafizi Ramli
Timbalan Presiden
Merangkap Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat 

Related Posts
crossmenuchevron-up