Carian
July 26, 2021

AMK Solidariti Bersama Doktor Kontrak

Biro Profesional dan Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia ingin menyatakan sokongan kepada para pegawai perubatan kontrak kerajaan atas tuntutan jaminan perkerjaan dan faedah yang sewajarnya melalui “Hartal Doktor Kontrak” (HDK).

Memorandum Gerakan Hartal Doktor Kontrak telah mengemukakan dua tuntutan: kerajaan menawarkan perlantikan tetap kepada semua pegawai perubatan kontrak dan menjelaskan butiran kriteria kelayakan yang telus dan terperinci untuk perlantikan tetap.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), terdapat sebanyak 23,077 orang pegawai perubatan kontrak sejak tahun 2016 tetapi hanya 789 orang ditawarkan jawatan tetap dalam hospital kerajaan. Ini bermakna kebanyakan doktor kontrak yang berkhidmat dalam sektor kesihatan awam terancam dengan masalah kehilangan kerja selepas tempoh kontrak. Ini telah mendatangkan ketidaktentuan kepada kehidupan dan masa depan doktor kontrak.

Kenyataan Perdana Menteri minggu lepas yang menawarkan perlanjutan kontrak selama dua tahun selepas tempoh khidmat wajib tidak menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh pegawai perubatan berkontrak.

AMK berpendapat bahawa tawaran “separuh masak” tersebut telah menunjukkan pihak Kerajaan Perikatan Nasional tidak prihatin dan enggan memandang serius masalah yang dialami oleh pegawai perubatan kontrak. Tambahan pula, kerajaan juga cuba “sugarcoat” demi tujuan mendiamkan doktor-doktor kontrak yang dieskploit.

AMK juga mengecam sebarang tekanan oleh pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang menyertai protes aman yang dianjurkan oleh HDK. AMK juga menuntut supaya pihak berkuasa dapat menghormati hak-hak kebebasan mereka. AMK sedia menawarkan khidmat bantuan guaman kepada mereka yang diancam dengan sebarang tindakan undang-undang akibat daripada penyertaan dalam protes aman.

Pegawai perubatan kontrak kerajaan telah membentuk sebahagian besar “frontliners” yang bertungkus-lumus melawan wabak Covid-19 di negara kita sejak tahun lepas. Pegawai perubatan kita kini sudah lesu upaya ekoran peningkatan kes yang disebabkan oleh kegagalan kerajaan menangani pandemik ini.

Justeru, kami berharap Kerajaan Perikatan Nasional dapat memandang serius tuntutan yang dikemukakan oleh para pegawai perubatan kontrak kerana isu ini bukan sekadar isu di kalangan doktor kontrak, tetap juga berkait rapat dengan kebajikan seluruh rakyat Malaysia.
Seah Jhen Pei
Pengerusi Biro Profesional
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Chiew Choon Man
Pengerusi Biro Guaman dan Undang-Undang
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up