Carian
October 9, 2021

Azhar Jangan Lebih Sudu Dari Kuah, Segerakan Perbahasan Isu Kertas Pandora Di Parlimen

Saya menggesa Yand Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun supaya menyegerakan usul membahaskan isu Kertas Pandora di Parlimen selepas Malaysia disenarai kelabu oleh Kesatuan Europah Selasa lepas.

Isu Kertas Pandora telahpun memberi kesan yang amat besar kepada negara-negara dan tokoh-tokoh yang terlibat di seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali. Senarai kelabu ini berlaku buat kali pertama dalam sejarah negara kita, ketika pendedahan Kertas Pandora yang memperlihatkan individu kaya dan berkuasa menyimpan aset mereka di tempat perlindungan percukaian.

Azhar menolak usul tersebut yang dibawa oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun pihak eksekutif Malaysia telahpun memberi komitmen untuk meminda atau menghapuskan "pengecualian rejim sumber pendapatan asing yang berbahaya" mulai 31 Disember 2022. Dalam isu ini, saya kesal bahawa Azhar lebih menyebelahi pihak kerajaan daripada mempertahankan kebebasan dan kedaulatan institusi perundangan parlimen. Bahkan beliau dilihat lebih konservatif dan berat sebelah berbanding dengan pihak eksekutif kerajaan, umpama “lebih sudu dari kuah”.

Saya ingin bertambah bahawa kedua-dua anggota kabinet yang mengetuai Kementerian Kewangan, iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul dan Timbalan Menteri Kewangan 2 Yamani Hafez bin Musa pernah ada rekod menjadi pemilik syarikat atau firma pemegang amanah luar pesisir. Antaranya Tengku Zafrul pernah dinamakan sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Limited, dan Yamani pernah dilantik pengarah Great Ocean Consultants di Kepulauan Virgin Britain dari 2013 hingga 2015.

Walaupun tidak salah memegang amanah luar pesisir, objektif sebahagian mereka adalah lebih kepada tujuan kerahsiaan ataupun untuk melindungi harta mereka. Persoalannya, mengapakah ahli-ahli politik perlu merahsiakan harta mereka di luar negara? Mengapakah mereka yang kononnya memperjuangkan bangsa dan tanah air negara, meletakkan harta mereka seribu batu jauh daripada Malaysia? Rakyat telah meletakkan amanah kepada mereka untuk menjaga harta negara di bawah kelolaan Kementerian Kewangan, bukankah mereka wajar memperjelaskan harta dan transaksi mereka dengan lebih telus dan teliti?

Saya menuntut Azhar segerakan rayuan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang supaya Kertas Pandora dapat dibahaskan di Parlimen demi kebaikan rakyat dan negara. Berhentilah pertahankan apa yang tidak dapat dipertahankan, dan pulihkan martabat serta kemuliaan Dewan Rakyat.

Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up