Carian
September 27, 2022

BANTAH PRU15 SEMASA BANJIR: SELAMATKAN NYAWA BUKAN JAWATAN

Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat dari UMNO untuk mengadakan Pilihanraya Umum 15 (PRU15) secepat mungkin. Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir.

Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini. Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk.

Presiden UMNO, Dato' Seri Zahid Hamidi mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu.

PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihanraya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana. Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihanraya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.

Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihanraya.

Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.

Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik.

Tandatangan petisyen di bit.ly/TumpuBanjir

RAFIZI RAMLI
Rakyat Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up