Carian
August 12, 2022

BNM dan iPay88 Bersekongkol Tutup Isu Kebocoran Maklumat?

Saya terkilan dengan berita semalam bahawa gerbang pembayaran online iPay88 telahpun diceroboh pada 31 Mei 2022 dan terdapat maklumat kad pengguna yang terdedah. Lebih mengekutkan adalah berita ini hanya diumumkan 72 hari selepas kejadian berlaku. Respon lembap iPay88 ini telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keselamatan maklumat dan kewangan jutaan pengguna di Malaysia.

iPay88 bukan syarikat biasa. Ianya menguasai 50% transaksi online di Malaysia, dan memproses 30 juta transaksi sebulan yang bernilai RM2.5 bilion. Laman web BNM (https://www.bnm.gov.my/list-of-regulatees) telah menunjukkan (Non-banks 22. iPay88 (M) Sdn. Bhd) bahawa syarikat tersebut terletak di bawah kawal selia BNM. Persoalannya, adakah maklumat pencerobohan ini disampaikan kepada BNM sejurus selepas kejadian berlaku?

Tarikh pemakluman ini penting kerana jika iPay88 tidak menyampaikan maklumat pemcerobohan ini kepada BNM, maka ia harus dihukum, dan BNM telah dilihat gagal dalam kerja pemantauan dan pengawal seliaan mereka.

Tapi jika BNM telah mendapat maklumat tersebut seawal 31 Mei 2022, mengapakah BNM mendiamkan diri, dan iPay88 turut menyembungikan isu ini daripada pengetahuan orang awam?

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) telah mengeluarkan kenyataan susulan itu (https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/08/11/banks-step-up-cybersecurity-following-ipay88-data-breach/). Perkembangan ini nampak mengukuhkan lagi bukti bahawa iPay88 tidak memaklumkan kebocoran maklumat ini kepada pihak bank.

Tetapi adakah kejadian ini diketahui BNM terlebih awal? BNM wajib tampil memberikan penjelasan segera supaya tidak dilihat leka dan bersekongkol dalam kebocoran maklumat yang antara paling serius dalam sejarah Malaysia. Jangan lupa bahawa iPay88 hanya merupakan salah sebuah syarikat merchant acquires daripada 51 buah syarikat yang beroperasi di negara ini.

LEE CHEAN CHUNG
Ahli MPP KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up