Carian
November 16, 2022

HANYA HARAPAN KOMITED TERHADAP REFORMASI DBKL

Satu perkara yang berulang kali dibangkitkan daripada interaksi saya bersama pengundi Setiawangsa dan Kuala Lumpur semasa kempen PRU15 ini ialah keinginan untuk mereformasi mengenai bagaimana DBKL berfungsi. Dengan bajet sekitar RM3 bilion setahun, peruntukan DBKL melebihi negeri terkaya di Malaysia, seperti Selangor RM2.34 bilion. 

Dan di sebalik hal ini, hampir tiada pengawasan perundangan kepada DBKL. Banyak cabaran yang dihadapi seperti pembangunan yang terlalu padat dan mutu infrastruktur yang rendah berpunca daripada masalah ini. 

Sememangnya, Kerajaan Persekutuan sekarang nampaknya lebih tertumpu kepada melindungi kepentingan golongan tertentu dan bukannya nyawa dan punca mata pencarian rakyat. 

Pakatan Harapan, melalui bahagian manifesto kami bertajuk: “Demokrasi Lebih Besar, Akauntabiliti dan Penyertaan di Semua Peringkat Kerajaan” telah menjanjikan pendemokrasian yang lebih berkesan untuk melindungi kepentingan rakyat. Seperti yang dinyatakan dalam manifesto: "Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi di peringkat kerajaan tempatan untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara." 

Secara khusus, Kerajaan Persekutuan PH akan: 

1. Menggalakkan penglibatan orang ramai di semua peringkat melalui platform yang konsisten dan terbuka, terutamanya berkaitan projek pembangunan tempatan dan dasar tempatan yang memberi impak sebenar kepada kehidupan rakyat; dan 

2. Bekerja keras untuk memperkasakan demokrasi dan ketelusan di DBKL melalui kaedah yang sistematik. Usaha ini akan memastikan semua rakyat Malaysia boleh memilih perwakilan yang lebih dipercayai, inklusif, dan mewakili kepentingan rakyat, bukannya pemaju. 

Sebagai ibu kota, Kuala Lumpur harus mendahului, kerana "defisit demokrasi" pengundi Wilayah Persekutuan kita hanya mempunyai satu undi, manakala di negeri-negeri lain mempunyai dua; satu untuk Dewan Rakyat dan satu lagi untuk negeri masing-masing (DUN). 

Hujah-hujah yang dibuat bahawa hal sebegini akan membawa kepada ketegangan kaum yang lebih besar adalah jelas tidak masuk akal. 

Data banci 2010 telah menunjukkan bahawa jumlah penduduk Melayu di Kuala Lumpur adalah mengatasi penduduk Cina 45.9% hingga 43.2% pada ketika itu - 12 tahun lalu. 

Pada tahun 1970-an, hanya 15.5% penduduk bandar di Semenanjung Malaysia adalah Melayu. Walau bagaimanapun, menjelang 2016, 68% daripada masyarakat Bumiputera tinggal di bandar. Dianggarkan pada tahun 2020 bahawa daripada populasi bandar kolektif Malaysia, 56% adalah Bumiputera. 

Saya menggesa semua pengundi untuk membaca manifesto PH yang telah disediakan di https://kitaboleh.my/tawaran-kita-boleh/demokrasi-ketelusan-dan-keterlibatan-dalam- semua-peringkat-kerajaan/dan mengundi kami pada 19 November ini. 

Undi anda adalah untuk Kuala Lumpur diuruskan dengan lebih baik dan memberi peluang yang pelbagai kepada semua penduduknya. 

Kuala Lumpur yang merupakan bandaraya bertaraf dunia yang mempunyai kelasnya yang tersendiri. 

Kuala Lumpur dan Malaysia harus selayaknya boleh dibanggakan oleh kita semua.

NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Calon HARAPAN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up