Carian
August 15, 2022

HENTI POLITIKKAN ISU: BN PATUT PERJUANGKAN HAK IBU MEWARISKAN KEWARGANEGARAAN KEPADA ANAK YANG DILAHIRKAN DI LUAR NEGARA SEKARANG, BUKAN TUNGGU PRU!

1. Saya merujuk kepada resolusi keenam yang dicadangkan oleh Wanita BN semasa Konvensyen Wanita BN yang diadakan semalam, 14 Ogos 2022 berkenaan pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 14(1)(b) dan Seksyen 1(b) Bahagian II untuk perkataan 'bapa' dipanjangkan kepada ibu atau ditukar kepada 'ibu bapa'.

2. Saya mempersoalkan dan menyelar tindakan Wanita BN yang masih mahu menunggu sehingga PRU ke-15 untuk mencadangkan pindaan ini sebagai sebahagian daripada manifesto BN. Tindakan ini seolah-olah tidak mengiktiraf beban yang sedang ditanggung oleh wanita-wanita Malaysia pada saat dan ketika ini yang masih bergelumang dalam kemelut perundangan bagi mendapatkan hak mereka dan anak-anak. Malahan yang lebih mengecewakan adalah cadangan ini disokong pula oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri.

3. Saya berpendapat bahawa cadangan ini mencerminkan bahawa Wanita BN dan UMNO tidak mempunyai iltizam politik yang cukup kuat untuk menghentikan diskriminasi gender terhadap wanita Malaysia yang begitu jelas ini sedangkan NGO seperti Family Frontiers telah memperjuangkan isu ini sejak tahun 2020 lagi.

4. Sekiranya Wanita BN sebetulnya mahu memperjuangkan hak wanita Malaysia dalam isu ini, saya cabar Wanita BN supaya mendesak Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 26 Oktober supaya membahaskan satu usul tergempar terkait isu ini.

5. Wanita BN hendaklah berhenti mempolitikkan isu ini dan berhenti mencipta naratif salah seolah-olah parti-parti Pembangkang tidak menyokong supaya pindaan Perlembagaan tersebut dibuat dengan cuba menjadikan ia sebagai salah satu manifesto BN.

6. Saya ingin menegaskan bahawa pindaan Perkara 14(1)(b) dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan ini memerlukan perhatian secepat mungkin oleh semua pihak dan bukannya dijadikan modal politik semata-mata.

RABIATUL ADAWIYAH SULAIMAN
KETUA BIRO GUAMAN DAN UNDANG-UNDANG
WANITA KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up