Carian
June 7, 2022

Jangan Perlekehkan Veteran

Semalam, 1,500 orang veteran Angkatan Tentera berhimpun di Tugu Negara bagi menuntut Kerajaan menyelesaikan isu pencen veteran. Selepas menanti sekian lama, mereka tiada pilihan melainkan turun menyatakan keluhan mereka.

Saya telah beberapa kali membangkitkan soal veteran di Parlimen.

Sehingga kini Kerajaan belum tampil dengan penyelesaian menyeluruh soal meningkatkan kemahiran veteran yang bersara pada usia muda.

Sebaliknya, Kerajaan melantik orang politik – Jamil Khir Baharom – Pengerusi UMNO Kedah sebagai Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang bertanggungjawab melatih anggota tentera yang bakal bersara. Ketika beliau menjadi Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam, beliau menarik pelbagai isu kontroversi melibatkan institusi-institusi agama seperti Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskin dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada masa yang sama, campur tangan politik terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memberi kesan langsung kepada kebajikan veteran. Ini termasuk projek Littoral Combat Ship RM9 bilion yang berhadapan kelewatan , pengambil alihan projek AES bernilai RM555 juta dan lain-lain lagi.

Bagi Belanjawan 2022, Kerajaan telah menurunkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran dari RM105 juta kepada RM92 juta, dengan penurunan ketara geran dan bayaran tetap.
Antara 2015 sehingga Oktober 2021, 8,782 anggota tentera telah meninggalkan perkhidmatan tanpa pencen daripada jumlah 36,918. Berapa di antara mereka menjalankan peralihan ke kehidupan awam dengan berjaya, dan beramai ramai yang masih lagi hidup dalam keadaan daif?

Kerajaan mesti mengambil serius soal masa hadapan veteran yang telah berkorban untuk negara kita. Ini bukan hanya soal untuk diberi perhatian ketika tiba pilihan raya, tetapi memerlukan penyelesaian menyeluruh melibatkan membebaskan institusi seperti PERHEBAT dan LTAT daripada campur tangan politik, merangka dasar veteran yang lebih relevan dan praktikal serta dasar pencen yang bermaruah dan bermakna bagi veteran.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up