Carian
August 22, 2021

KEADILAN Wilayah Persekutuan Kekal Menyokong Anwar Sebagai Presiden KEADILAN Dan Pengerusi PH

Kami menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9 pada 21 Ogos 2021. Kami hormati bahawa pelantikan telah dibuat menurut lunas-lunas perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen raja berperlembagaan serta mengambilkira kepentingan rakyat dan negara.

Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (MPNWP) akan terus kekal menyokong kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN dan Pengerusi Pakatan Harapan, yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian selama ini. Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan beliau jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang. Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Kami akan meneruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Dengan keadaan rakyat yang susah sekarang tanpa sara hidup, pendapatan yang tetap serta ekonomi yang tidak menentu maka lebih-lebih lagi agenda tersebut wajib dikukuhkan. Kami mendoakan moga kesihatan rakyat terus terjaga tanpa diabaikan dengan kekusutan politik dan negara dapat bangkit daripada krisis kesihatan serta ekonomi dengan pemerintahan yang betul.

Kami menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi untuk terus memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden dan prinsip yang diperjuangkan.

Kami menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14.

Lawan tetap lawan! Lawan sampai menang!

ZAHIR HASSAN
Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan

YB PRABAKARAN
Ketua AMK Wilayah Persekutuan

ROHAIDAH MAMAT
Ketua Wanita Wilayah Persekutuan

Related Posts
crossmenuchevron-up