June 9, 2025

Kerajaan Harus Batalkan Lesen Syarikat Bas yang Cuai dan Perkasa Pilihan Pengangkutan Malam yang Selamat

Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden kemalangan tragis melibatkan sebuah bas ekspres baru melibatkan pelajar-pelajar UPSI. Kejadian seperti ini tidak seharusnya berulang, lebih-lebih lagi apabila nyawa rakyat menjadi taruhan akibat kecuaian atau kegagalan pihak pengendali mematuhi aspek keselamatan.

Saya menggesa agar kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen operasi syarikat bas yang terlibat secara kekal, jika didapati lalai atau mempunyai rekod keselamatan yang buruk berulang kali.

Tidak wajar nyawa rakyat dipertaruhkan atas nama keuntungan komersial. Pendekatan penguatkuasaan yang lebih keras harus dilaksanakan bagi memastikan pengendali bas ekspres benar-benar mematuhi garis panduan keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, dan waktu rehat pemandu.

Selain itu, saya mencadangkan agar kerajaan mengelakkan atau mengehadkan perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam, terutamanya antara jam 12 malam hingga 6 pagi waktu kritikal yang kerap dikaitkan dengan kemalangan akibat keletihan pemandu.

Memperkasa dan menambah perkhidmatan rel malam seperti ETS dan tren tidur (overnight train) di laluan jarak jauh antara negeri, sebagai alternatif yang lebih selamat dan selesa.

Meningkatkan pelaburan dalam sistem rel negara, khususnya bagi menghubungkan bandar-bandar utama dengan jadual perjalanan fleksibel dan mampu milik.

Kita tidak boleh terus membiarkan rakyat Malaysia membayar harga yang mahal nyawa hanya kerana kekurangan penguatkuasaan atau ketidakcukupan pilihan pengangkutan awam pada waktu malam.

Keselamatan rakyat adalah tanggungjawab bersama, dan kerajaan harus mendahului langkah dengan tindakan berani dan berprinsip.

Yuneswaran Ramaraj
Ahli Parlimen Segamat

Related Posts
crossmenuchevron-up