Carian
June 22, 2022

KERAJAAN MALASIA MANSUHKAN HARGA SILING AYAM DAN TELUR AYAM, TANPA SOLUSI UNTUK MASYARAKAT YANG TERPINGGIR

Semalam pada 21 Jun 2022, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Pada tarikh yang sama, Kerajaan Singapura pula mengumumkan pakej ransangan/bantuan sebanyak SGD 1.5bilion untuk rakyat mereka.

Jelas dilihat disini bahawa pihak Kerajaan Malaysia bukan sahaja telah hilang kawalan “lost control” terhadap situasi pembekalan dan pengawalan harga makanan tetapi pada masa yang sama Kerajaan Malaysia tidak memahami beban dan kesan harga makanan yang melambung tinggi terhadap rakyat.

Apabila harga siling ayam dan telur dimansuhkan, ia akan mencetuskan satu “ripple effect” kepada harga makanan lain dan makanan diproses, terutamanya industri makanan dan minuman (F & B).

Anggapan bahawa harga ayam tidak akan melambung lebih dari angka yang disebutkan oleh “pihak industry” adalah satu “fallacy” dan tidak tepat. Kerajaan tidak dapat memberi jaminan setinggi mana harga ayam dan telur ayam akan nai, kerana ia sekarang bergantung kepada pasaran untuk ditentukan.

Walaupun kadar inflasi rasmi Malaysia dianggarkan adalah disekitar 2.3-3.3%, tetapi realitinya amat berbeza kepada keluarga-keluarga B40. Kadar inflasi makanan secara realistik sekarang adalah diantara 6-10%.

Jumlah peningkatan ini, yang sudah sedia wujud, ditambah dengan penambahan harga yang akan datang pada bulan Julai, kita akan nampak krisis makanan dimana keluarga B40 dan keluarga yang terutamanya diketuai oleh wanita (women-headed-household), tidak akan cukup wang untuk membeli makanan bagi rumahtangga mereka.

Barangkali untuk mengatasi cabaran ini, jenis makanan yang dibeli oleh keluarga yang berada di bawah tekanan ini, akan berubah kepada makanan yang tidak seimbang , tidak sihat dan pastinya tidak mencukupi.

Kerajaan yang bertanggungjawab seperti Singapura, menunjukkan keprihatinan terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat mereka.

Maka untuk mengurangkan kesan harga makanan yang tinggi, penerima-penerima bantuan bulanan seperti Kebajikan/Zakat harus diberikan penambahan bayaran yang diterima (secara ad-hoc dan untuk waktu terhad), untuk membantu mereka melalui waktu yang sangat mencabar ini. Bantuan yang diberikan perlu diberi secara BULANAN dan bukan ‘one-off’.

Kerajaan ada tanggungjawab yang besar untuk mengambil langkah lebih proaktif untuk memastikan golongan masyarakat yang paling tertindas seperti wanita, kanak-kanak dan golongan OKU menerima bantuan secara saksama (“equitably receive aid”) dan secepat mungkin.

SANGETHA JAYAKUMAR
NAIB KETUA WANITA KEADILAN MALAYSIA
PENGERUSI, PERSATUAN WANITA NADI SELANGOR

Related Posts
crossmenuchevron-up