Carian
May 2, 2023

Kerajaan Perlu Memberi Tumpuan kepada Warga Emas yang Tinggal Bersendirian

1. Saya berasa amat kesal dengan insiden melibatkan seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia di rumahnya yang berkunci di Muar pada 3 Syawal lalu.

2. Peristiwa malang ini sewajarnya membuka mata kita bahawa insiden kematian warga emas yang hidup sebatang kara tanpa pengetahuan keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka bukan lagi satu berita yang janggal buat rakyat Malaysia.

3. Satu perkara yang amat menyayat hati adalah mereka ini mungkin boleh diselamatkan dan hidup lebih lama jika menerima perhatian dan bantuan kecemasan segera. 

4. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi warga emas dalam negara diunjurkan semakin meningkat sehingga Malaysia menjadi sebuah negara tua pada 2030. Menjelang 2030, 15% daripada jumlah penduduk negara dianggarkan berumur 60 tahun ke atas. 

5. Oleh itu, dasar Kerajaan pada semua peringkat, sama ada pada peringkat kerajaan tempatan, negeri atau Persekutuan harus memberikan tumpuan utama kepada aspek kebajikan golongan warga emas yang hidup bersendirian. 

6. Bagi tujuan ini, sebagai cadangan pertama, kerajaan boleh menggalakkan dan membantu pemasangan atau penggunaan “butang panik” di rumah-rumah warga emas yang tinggal bersendirian secara percuma. Butang panik ini yang boleh dipasang di dinding atau dipakai oleh warga emas berfungsi untuk menghubungi pihak polis dengan segera apabila seseorang warga emas memerlukan bantuan kecemasan.

7. Cadangan kedua pula, komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan boleh mengumpulkan data warga emas yang tinggal secara bersendirian dan memeriksa keadaan mereka dari masa ke masa melalui panggilan telefon atau ziarah secara fizikal secara berkala.

8. Cadangan ketiga, Kerajaan Persekutuan boleh mengukuhkan sistem sokongan penjagaan kesihatan dan kebajikan yang holistik dan berpatutan secara dalam komuniti untuk keperluan golongan warga emas.

Ketiga-tiga cadangan ini boleh menjadi titik mula untuk kita bersama-sama memberikan perhatian dan mengutamakan aspek kesejahteraan golongan warga emas yang tentu sekali banyak sumbangannya kepada keluarga, masyarakat dan negara,

Loh Ker Chean

Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat

Related Posts
crossmenuchevron-up