Carian
August 22, 2022

KES DR RAFIDAH MENUNJUKKAN BANK TAHU DAN BOLEH BERTINDAK

Pendedahan kes hari ini amat mengejutkan keran pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh dilesapkan oleh sindiket penipuan kewangan.

Sebelum ini telah didedahkan bahawa simpanan Tabung Haji juga boleh dikeluarkan oleh penipu yang berjaya memancing maklumat peribadi pencarum. Mangsa tersebut mengalami kerugian sebanyak RM98,900 dan belum lagi menerima apa-apa makluma balas daripada Tabung Haji selepas aduan dibuat. (1)

Jika tabung simpanan seumur hidup rakyat dalam KWSP untuk tujuan persaraan, dan caruman Tabung Haji untuk menunaikan haji juga boleh dilesapkan, apatah lagi simpanan lain dalam bank dan e-wallet?

Kelmarin masyarakat juga hangat membincangkan penipuan yang terjadi kepada Dr Rafidah Abdullah, yang mana simpanan beliau dalam bank CIMB sebanyak RM13 ribu dikeluarkan pada 2-2.30 pagi tanpa menerima TAC. Beliau telah membuka akaun CIMB selama 30 tahun dan tidak pernah menukar nombor telefon atau mendaftarkan nombor telefon kedua. Tapi penipu boleh menjalankan transaksi 3 kali ke iphone 6 yang “telah didaftar” itu TIDAK memerlukan TAC.

Pengalaman Dr. Rafidah sekali lagi membuktikan kelompongan dan kelemahan sistem sekuriti bank. Sementara kami 100% bersolidariti menyokong desakan serta tuntutan Dr. Rafidah, pendedahan beliau menunjukkan bahawa bank sebenarnya MENGETAHUI peranti baru digunakan untuk pendaftaran app perbankan mereka. Persoalannya, MENGAPAKAH TIADA TINDAKAN LANJUT bank untuk membuat pengesahan? (2)

Kami juga mendapati kes Dr. Rafidah dihubungai oleh pihak CIMB bank untuk diberikan penjelasan. Malangnya, ribuan mangsa lain tidak menerima layanan begitu kerana mereka tidak mempunyai 300 ribu “followers” dalam media sosial mereka. Adakah ini SOP bank yang hanya melayan mangsa berpengarah tetapi mengabaikan yang lain? Mana hak mangsa-mangsa lain untuk mengetahui status kehilangan wang mereka?

Kes Dr Rafidah telah membuktikan bahawa bank-bank komersil sebenarnya mengetahui lebih lanjut tentang apa yang berlaku dan alat mana yang melakukan penipuan. Malangnya mereka tidak berbuat apa-apa dan membiarkan mangsa mengubati luka sendiri. Keadaan ini diizinkan kerana Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bertindak memperketatkan tahap keselamatan siber (cyber security) bank-bank komersil. Harus saya menekankan bahawa kelewatan bertindak ini adalah satu kezaliman kerana setiap hari, lagi ramai mangsa akan tertipu dan kehilangan simpanan seumur hidup mereka.

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Penasihat Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online (#ScamVictimSupport)

Related Posts
crossmenuchevron-up