Carian
May 10, 2021

KPM Harus Jelaskan Hasil Siasatan Kes Ain Husniza

Berita tentang adik Ain Husniza yang menerima surat amaran daripada sekolah akibat tidak hadir ke sesi persekolahan setelah kejadian yang tular baru-baru ini sukar dipercayai. Pihak sekolah perlu memberikan penjelasan dan alasan yang kukuh kerana berbuat demikian.

Kejadian yang dikemukakan Ain Husniza bukan masalah disiplin sekolah rendah. Ia menyentuh masalah gangguan seksual di sekolah yang jauh lebih besar dan yang lebih penting lagi, nilai teras sistem pendidikan kita. Kemarahan dan reaksi masyarakat seterusnya pasti memberi tekanan besar kepada Ain.

Pentadbiran sekolah perlu mengambil pendekatan lebih konstruktif dalam menangani kes seperti ini bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku lagi di sekolah dan adik Ain mesti diberi semua sokongan moral yang diperlukan untuk meneruskan pelajarannya tanpa gangguan dan ancaman pengusiran.

Saya mengucapkan tahniah kepada ibu bapa Ain kerana telah melahirkan seorang wanita muda yang baik hati dan berani menyatakan apa yang salah dengan pihak sekolah dan guru. Tidak ada gadis yang boleh mengalami gangguan seksual di sekolah dan mereka mesti dilindungi kerana mendedahkan perkara yang tidak betul.

Oleh kerana pendedahan gangguan seksual dan pemeriksaan period di sekolah menjadi bahan perbualan masyarakat, Menteri Pendidikan perlu menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang telah diambil terhadap pelaku secepat mungkin.

YB DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW
AHLI PARLIMEN WANGSA MAJU
PARTI KEADILAN RAKYAT

Related Posts
crossmenuchevron-up