Carian
August 30, 2022

KURANGKAN KARENAH BIROKRASI, TUMPU TANGKAP IKAN JERUNG SCAMMER

Pendedahan kes hari ini menunjukkan bahawa sindiket penipuan kewangan online ini sudah menguasai BIG DATA dan mampu melakukan penipuan secara bersasar (targeted).

Teknologi dan sistem terkini diperlukan untuk membanteras penipuan sindiket yang makin sofistikated ini. Malangnya, mengikut kenyataan SAC (B) Datuk Ahmad Nordin Ismail, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia dan bekas Timbalan Pengarah (Siasatan, Jenayah Siber dan Multimedia) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya DUA tahun sebelum satu-satu perolehan perkakasan dan sistem yang mengawal keselamatan siber diluluskan oleh kementerian dan seterusnya diterima. (1)

Karenah birokrasi ini tidak boleh diterima sama sekali. Malaysia sudah mengalami kerugian sebanyak RM5.2 bilion daripada 2020 hingga Mei 2022, bersamaan dengan kerugian RM5.2 juta setiap hari, ataupun RM218 ribu setiap jam. Adakah kita perlu menunggu dua tahun lagi untuk melihatkan penambahbaikan? Pastinya teknologi sindiket menjadi lebih canggih pada masa itu dan terus menyulitkan kerja melawan jenayah siber.

Tindakan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang cuba memanggil empat agensi di bawahnya, iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Cyber Security Malaysia (Cyber Security) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk berbincang adalah baik walaupun sudah terlewat (2). Namun saya berpendapat bahawa tindakan secara runcitan dan diasingkan mengikut kementerian tidak akan membawa hasil yang nyata. Dalam hal ini, hanya kabinet dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mempunyai mandate untuk mengumpulkan segala pihak supaya tindakan kolektif boleh diambil dengan pantas.

Selepas tindakan drastik diambil oleh Money Authority of Singapore (MAS), dilihatkan bahawa kes jenayah phushing telahpun dikurangkan sebanyak 80%. MAS menetapkan garis panduan supaya bank-bank komersil turut mengambil tanggungjawab yang sepadan dengan peranan mereka. Wakil kelima-lima bank utama di Singapura juga perlu menghantar wakil untuk bersiap siaga di Anti Scam Centre yang ditubuhkan oleh kerajaan mereka. (3) Malangnya, selepas RM5.2 bilion dilesap dan puluhan ribu rakyat ditipu, yang mana majoriti penipuan dilakukan di bawah nama agensi kerajaan, kita masih belum mengambil tindakan-tindakan sebegitu.

Kita harus sedar bahawa tanah air kita diancam oleh anasir-anasir luar yang cuba merompak dan merampas titik peluh serta harta rakyat. Ribuan rakyat mengalami kemurungan dan penyakit mental akibat penipuan-penipuan ini yang tidak terhenti-henti. Perperangan ini memerlukan semangat dan perpaduan semua pihak supaya integriti dan imej negara kita tidak tercalar. Di ambang Hari Kemerdekaan, #ScamVictimSupport mendoakan supaya rakyat biasa dapat dibebaskan daripada ancaman dan serangan luar yang merosakkan kehidupan mereka.

YB Lee Chean Chung
Penasihat #ScamVictimSupport
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up