Carian
August 26, 2022

LATIFF AHMAD PERLU SAMAN AUDITOR, BHIC DAN SAYA

Penafian terbaru Datuk Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai pembabitan beliau (melalui syarikat-syarikat yang dikawal oleh isteri kedua beliau) yang dibuat pada hari ini, hanyalah penafian di Facebook.

Beliau tidak sedikit pun membidas fakta-fakta yang telah dikongsi dengan rakyat setakat ini:

1. Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau

2. Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang mengawal syarikat-syarikat palsu Alizes Marine yang mendapat kontrak membekalkan alat gantian sebanyak RM210 juta

3. Laporan Forensik Kapal LCS turut menamakan satu lagi syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd sebagai syarikat yang dikawal oleh Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut

4. Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Latiff sendiri

5. Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Dr Latiff dan Zainab Mohd Salleh

Apabila Dr. Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juru audit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juru audit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr. Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS.

Penafian Facebook Dr. Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr. Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd.

Penafian mudah (tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen) adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan UMNO dan bekas UMNO (yang kini dalam BERSATU).

Semasa skandal SRC dan 1MDB mula-mula didedahkan pun, Dato’ Seri Najib Razak menafikan mentah-mentah bahawa wang masuk ke akaun peribadinya. Apabila telah dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu dari derma hartawan Arab. Setelah disiasat, didapati pula wang itu datang dari tabung pencen rakyat.

Sebab itu, rakyat tidak lagi boleh mempercayai penafian kosong oleh menteri-menteri UMNO dan BERSATU kerana rekod yang telah ada setakat ini.

Jika Dr. Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta ke atas BHIC (tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS), Alliance IFA (M) Sdn Bhd (juru audit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS) dan saya (yang mendedahkan perkara ini).

Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr. Latiff akan mengheret partinya BERSATU ke kancah kekalahan dalam PRU15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini.

RAFIZI RAMLI

Related Posts
crossmenuchevron-up