Carian
May 14, 2024

Lawatan Rasmi KEADILAN Perkukuh Hubungan Diplomatik Antara Rakyat Malaysia Dan China

LAWATAN RASMI DELEGASI KEADILAN KE REPUBLIK RAKYAT CHINA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-50 HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA – CHINA

Lawatan Rasmi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perkukuh hubungan diplomatik antara rakyat Malaysia dan China

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 14 Mei 2024 – Delegasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing malam semalam atas jemputan rasmi daripada Kerajaan Republik Rakyat China (PRC) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan PRC.

Sebagaimana undangan rasmi pernah dipanjangkan PRC kepada pelbagai parti politik di Malaysia dan luar negara sejak bertahun lama, undangan kepada KEADILAN juga bertujuan untuk terus mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China sejak termeterainya Kenyataan Bersama antara Tun Abdul Razak dan Zhou Enlai pada tahun 1974.

Menerusi lawatan ini, PRC memberi ruang kepada parti politik negara serantau untuk mempelajari serta memahami dasar, inisiatif dan program yang berjaya melonjakkan PRC menjadi ekonomi kedua terbesar dunia. Lawatan rasmi KEADILAN diketuai oleh Ketua Delegasi, Saudari Nurul Izzah Anwar juga merangkap Naib Presiden KEADILAN, manakala jurucakap rasmi lawatan ini diwakili oleh YB Sim Tze Tzin 沈志勤, Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Setiausaha Politik Pejabat Presiden. Lawatan rasmi ini turut disertai barisan pimpinan Pusat, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN.

Selain pertemuan dengan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat, TYT Liu Jianchao, lawatan rasmi selama 10 hari ini turut meliputi beberapa sesi mesyuarat, jalinan kerjasama serta lawatan ke syarikat-syarikat terkemuka di China dalam bidang teknologi hijau, keterjaminan makanan dan bandar pintar.

Selaku negara ekonomi kedua terbesar di dunia serta rakan dagang utama Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut, lawatan ini memberi peluang kepada delegasi KEADILAN untuk menilai kemajuan, memperkukuh kerjasama dua hala sekaligus bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi, teknologi dan kejayaan inisiatif kerajaan seperti program pembasmian kemiskinan di China.

Selain itu, Naib Presiden, Saudari Nurul Izzah Anwar turut dijadualkan menyertai Sesi Dialog Antarabangsa bersama Dr Eric X. Li, Pengerusi Chengwei Capital dan Guancha.n serta Professor Busani Ngcaweni, Ketua Pengarah Sekolah Kebangsaan di Afrika Selatan anjuran Beijing Club for International Dialogue. Ini adalah penghormatan buat KEADILAN di peringkat antarabangsa apabila diberikan ruang khususnya bagi berinteraksi dan bertukar pandangan tentang hal ehwal antarabangsa disamping mengeratkan kerjasama dan ikatan antara negara-negara selatan.

KEADILAN yakin bahawa lawatan yang julung kali diadakan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada parti dan negara, malah dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Malaysia dan China untuk tahun-tahun mendatang.

Related Posts
crossmenuchevron-up