Carian
August 14, 2021

Mahiaddin Undur Segera, Tiada Lagi Ruang Untuk Selamatkan Diri

Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin perlu melepaskan jawatannya dengan sekadar segera.

Keengganan Mahiaddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan yang mana beliau wajib mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat malah, secara jelas mencabar kuasa KDYM Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman Mahiaddin secara terbuka mendakwa blok pembangkang tidak mempunyai sokongan majoriti telah melangkaui kuasa pada Yang di-Pertuan Agong. Justeru, adakah Mahiaddin sanggup menentang Yang di-Pertuan Agong hanya demi mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri?

Mahiaddin juga membohongi Yang di-Pertuan Agong dan rakyat bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti selain memberi alasan akan membuktikannya dalam sidang Parlimen pada September nanti.

Namun semalam, segalanya terbukti palsu apabila buat pertama kali dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri terpaksa menabur ‘sogokan’ kepada pembangkang secara terbuka agar terus menerima sokongan sekaligus mengekalkan kuasanya.

Sedarlah Mahiaddin, permainan politik dengan mengkhianati Pakatan Harapan menerusi ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020 akhirnya memakan diri.

Ternyata, kerajaan yang dibentuk dengan penuh pengkhianatan ini tidak mampu bertahan. Mahiaddin perlu segara undur demi kesuburan demokrasi dan kesejahteraan rakyat negara ini yang bukan sahaja berdepan krisis kesihatan malah, kekusutan ekonomi dan sosial.

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up