Carian
May 17, 2020

Mahyuddin Yassin PM Kerajaan Minoriti

MAHYUDDIN YASSIN PM KERAJAAN MINORITI BUKAN MAJORITI

1. Esok, Isnin 18 haribulan Mei 2020 adalah satu tarikh yang penting. Majlis Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas akan dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

2. Parlimen adalah simbol demokrasi berfungsi di Malaysia, sebuah negara demokratik, bebas, berdaulat yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

3. Menjelang sidang Parlimen esok, persoalan yang masih menunggu jawapan ialah : Bilakah Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dibentangkan di Parlimen?

4. Selagi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin belum lepas dan belum lulus ujian Undi Tidak Percaya yang telah dikemukakan ke Dewan Rakyat dan diterima oleh Speaker, maka status Muhyiddin masih kekal sebagai Perdana Menteri kerajaan minoriti.Kabinetnya ialah kabinet kerajaan minoriti.

5. Sebuah kerajaan minoriti hanya bersifat sementara keabsahannya (legitimacy).Muhyiddin mesti dalam masa yang segera pada peluang yang ada membuktikan beliau mempunyai cukup ahli parlimen menyokongnya untuk menunjukkan bahawa kerajaannya adalah sebuah kerajaan majoriti, hatta dengan majoriti yang mudah seramai 112 orang sahaja.

6. Muhyiddin Yassin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 berdasarkan peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘’Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;’’

7.Ukuran standard yang diguna pakai dalam Perkara 43 (2)(a) itu ialah ukuran subjektif bukannya objektif. Perkataan di dalam peruntukan Perlembagaan itu ialah ‘’ pada hematnya mungkin..’’

8.Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri kerajaan minoriti mesti melalui satu ujian objektif iaitu menghadapi dengan seberapa segera usul Undi Tidak Percaya yang telah dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana usul tersebut telah diterima oleh Parlimen sebagai satu usul Dewan Rakyat.

9. Bolehkah Muhyiddin Yassin bersandar keabsahan (legitimacy) kerajaannya hanya kepada alasan bahawa beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a)? Dengan rendah hati, penuh hormat dan beradab jawapan saya ialah: Tidak boleh.

10. Mengapa tidak boleh? Jawapan kepada soalan ini adalah penting. Malaysia ialah sebuah negara demokratik yang mengamalkan dwi-fungsi iaitu Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Malaysia tidak mengamalkan Sistem Raja Mutlak (absolute monarchy).

11.Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan itu merupakan pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa institusi raja di Malaysia. Tetapi kuasa itu tidaklah lengkap dan tidak mutlak dalam soal perlantikan seorang Perdana Menteri.

12. Mengapa saya berhujah demikian? Kerana dengan jelas Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan hal berkenaan Keanggotaan Dewan Rakyat iaitu: ‘’ Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada dua ratus dua puluh dua orang ahli dipilih.’’ Perkataan kunci di sini ialah perkataan ‘’dipilih’’. Dipilih bermaksud dipilih oleh rakyat di dalam pilihanraya melalui peti undi.

13. Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan itu adalah pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa rakyat. Demokrasi Berparlimen adalah demokrasi yang lahir dari peti undi dan pilihanraya.Kuasa rakyat yang sebenarnya memilih kerajaan.Kuasa rakyat juga seperti kuasa raja adalah suatu institusi yang diiktiraf oleh undang-undang dan Perlembagaan.

14. Sebagai seorang ahli Parlimen secara ikhlas dan jujur saya menyeru kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera menyelesaikan krisis perlembagaan ini yang menyentuh keabsahan kerajaan pimpinannya. Lagi cepat lagi baik supaya krisis perlembagaan ini tidak berleret-leret yang akan merugikan rakyat dan negara. Sebagai suatu Bangsa Malaysia dan sebuah negara Malaysia yang kita sayangi, maka kita perlu segera bangun dan bergerak ke hadapan.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Ahad 17 Mei 2020

Related Posts
crossmenuchevron-up