Carian
May 12, 2021

Masukkan KPMG Dalam Saman Sivil 1MDB

Saya menyambut baik keputusan kerajaan untuk membawa 22 pihak untuk tindakan mahkamah sivil oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Namun yang menarik perhatian orang ramai adalah KPMG Malaysia tidak tersenarai dalam nama-nama yang akan diambil tindakan mahkamah sivil. KPMG merupakan juruaudit 1MDB dari tahun 2010 hingga 2012, yang mana sejumlah wang USD1 bilion daripada 1MDB disuntik dalam usahasama dengan Syarikat Petrosaudi International (PSI) dan mengakibatkan sekurang-kurangnya USD700 juta dipindah alih kepada Good Star Ltd yang dikuasai Jho Low.

Berlainan dengan Ernst & Young (EY) yang enggan menandatangani keputusan audit, KPMG telah mengiktiraf audit akaun 1MDB untuk tahun 2010 tanpa meneliti penyata kewangan PSI. Kegagalan ini mengakibatkan 1MDB memberikan USD800 juta lagi pinjaman kepada anak syarikat PSI pada tahun 2011.

Apabila reputasi dan nama baik KPMG digunakan berkali-kali untuk menjustifikasikan transaksi dan perniagaan 1MDB, adakah KPMG tidak perlu bertanggungjawab dalam kecuaian ini?

Saya menggesa kerajaan supaya memasukkan KPMG dalam senarai saman sivil. Jika tidak, Menteri Kewangan Tengku Zafrul perlu memberikan penjelasan mengapakah satu-satu pihak yang penting ini dikecualikan dalam proses tuntutan mahkamah sivil.

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up