Carian
August 11, 2022

MB Pahang Kata Cukai Tanah Pahang Ketiga Rendah Di Malaysia Adalah Kurang Tepat

Pada 10 Ogos 2022, Menteri Besar Pahang YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail mengatakan bahawa cukai tanah di Negeri Pahang terutamanya bagi kategori industri adalah yang ke-3 rendah di negara ini.

Fakta ini kurang tepat sebenarnya. Selepas Warta Kerajaan berkenaan Penstrukturan semula Cukai Tanah di dalam negeri Pahang diwartakan pada 31 Oktober 2019, cukai tanah di negeri ini telah mengalami kenaikan sebanyak 2000%. Sebagai contoh, tanah perindustrian di kawasan Gebeng dengan mengalami kenaikan kadar cukai tanah daripada RM 0.25 kepada RM 5.00 setiap meter persegi.

Cuma pada awal tahun 2020, Kerajaan Negeri kemudian mengumumkan remisyen sebanyak 80% bagi kategori tanah perindustrian dan pertanian. Namun begitu, peningkatan selepas remisyen masih ketara, iaitu sebanyak 400%.

Adalah diketahui umum bahawa remisyen ini hanya merupakan pengecualian bersifat sementara sahaja. Ianya bergantung semata-mata kepada budi bicara Kerajaan Negeri, dan pengecualian ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan sebatang pen sahaja.

Sekiranya terdapat perubahan politik, rombakan pimpinan ataupun pertukaran dasar, adakah Menteri Besar sekarang berani berjanji bahawa remisyen ini akan kekal?
Tepuk dada tanya selera, adakah kaedah remisyen yang mencetuskan ketidaktentuan dan keraguan ini betul-betul dapat memberikan keyakinan kepada pelabur asing dan domestik?

Di samping itu, jangan lupa bahawa Pahang juga dialami dengan pelbagai kos tersurat dan tersirat yang tinggi. Sebagai contoh, fi pendaftaran pindah milik tanah telahpun naik mendadak dan juga terikat dengan talian hayat remisyen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri. Untuk hartanah bernilai RM500 ribu, fi pendaftaran Pahang yang terkini adalah RM2,500, manakala ianya hanya RM2,000 untuk Johor, RM1,000 untuk Pulau Pinang, dan RM400 untuk Selangor. Untuk hartanah bernilai RM1 juta, Kerajaan Negeri Pahang mengenakan fi RM3,500, manakala Johor RM3,000, Pulau Pinang RM2,250, dan Selangor kekal RM500.

Sekiranya Kerajaan Negeri betul-betu berhajat untuk memberangsangkan ekonomi negeri Pahang, saya berpendapat bahawa suara pelabur/peniga asing dan tempatan, termasuk pandangan dewan-dewan perniagaan dan persatuan industri harus didengar dan diteliti. Semak dan tambahbaik segera sekiranya perlu sebelum terlepas peluang pembagunan dan kemajuan kita kepada Melaka, Perak, Jakarta dan Phnom Penh.

Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ahli MPP KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up