Carian
October 7, 2022

Menteri Pendidikan Tolak Hadir Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan

Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Dewan Rakyat telah memanggil Menteri Kanan Pendidikan ataupun wakilnya untuk mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia ke mesyuarat pada hari ini, 6 Oktober 2022.

Tujuan utama panggilan tersebut adalah untuk meminta Menteri Kanan Pendidikan ataupun wakilnya dari Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan penjelasan berkaitan laporan pencapaian Kementerian Pendidikan yang telah mereka war-warkan di khalayak rakyat.

Jawatankuasa sebagai kuasa pengimbang kepada badan eksekutif di Parlimen, terpanggil untuk mendapatkan penjelasan dari pihak Menteri Kanan ataupun mana-mana timbalan beliau berhubung banyak isu yang melanda pendidikan negara yang masih tiada jawapan dan sering disenyapkan oleh pihak Kementerian seperti penghapusan peperiksaan-peperiksaan utama tanpa hala tuju dan alternatif yang jelas, isu bebanan tugas guru yang telah menyebabkan ramai guru bersara awal, isu keciciran murid yang semakin membarah dan pelbagai isu lain. Ahli-ahli Jawatankuasa telah memutuskan untuk membawanya pada sesi mesyuarat hari ini, 6/10/2022.

Malangnya, setelah surat panggil mesyuarat dikeluarkan oleh Dewan Rakyat, pihak Menteri Kanan Pendidikan melalui wakil mereka telah menolak untuk hadir. 

Ini bukan kali pertama mereka enggan hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan. 

Sikap ini amat berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Menteri- Menteri dari Kementerian lain, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi yang telah hadir ke mesyuarat apabila mereka diundang.

Mewakili Jawatankuasa, saya ingin melahirkan rasa kesal tidak terhingga atas keengganan Menteri Kanan yang bongkak dan angkuh dengan tidak memberikan kerjasama untuk menjelaskan isu yang melibatkan kepentingan awam dan masa depan pendidikan negara.

Apa pun alasan yang diberikan oleh pihak Menteri Kanan yang mengepalai Kementerian Pendidikan Malaysia, ia adalah tidak wajar, malah telah merendahkan kedudukan Parlimen Malaysia dan tidak menghormati suara rakyat yang mahukan penjelasan pihak Menteri Kanan di Parlimen.

Hal yang mendukacitakan ini hanya menimbulkan tanggapan dari kalangan rakyat bahawa Menteri Kanan Pendidikan dan timbalan-timbalannya merupakan seorang yang pengecut, tidak telus dan tidak mempunyai akauntabiliti. 

Keengganan Menteri Kanan atau wakilnya untuk hadir juga menimbulkan persepsi bahawa mereka takut untuk berhadapan dengan pihak Parlimen dan tidak profesional dalam menjalankan amanah.

Kepada para ibu bapa, anak-anak, para guru dan semua pemegang taruh pendidikan yang telah meminta Jawatankuasa untuk kami dapatkan penjelasan dari Menteri Kanan dan kepimpinan KPM, kami memohon maaf. Kami telah melakukan yang terbaik mewakili suara anda semua dan suara rakyat, namun malang sekali pihak KPM tidak menghormati suara rakyat dan kemuliaan Parlimen.

YB Dr Maszlee Malik

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Ahli Parlimen Simpang Renggam

Related Posts
crossmenuchevron-up