Carian
June 9, 2021

Nik Nazmi Setuju Kurangkan Bilangan Menteri Dan Timbalan Menteri PN

Baru-baru ini PM Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemotongan gaji Menteri dan Timbalan Menteri untuk biaya usaha perangi Covid. Yang ini saya sokong.

Tapi kalau dikurangkan bilangan Menteri dan Timbalan Menteri Perikatan Nasional (lagi ramai dari era Pakatan Harapan) lagi saya setuju. Kerja apa dibuat mereka ni pun kita tak tahu.

Kemudian diumumkan bagi penjawat awam, sebahagian imbuhan yang dinikmati kakitangan awam dari gred 29 hingga pengurusan tertinggi juga dipotong selama tiga bulan. Pemotongan ini berupa RM10 sebulan bagi gred 29 hingga 41, 5 peratus bagi gred 44-56, 10 peratus untuk JUSA C, 20 peratus untuk JUSA B dan 50 peratus JUSA A ke atas.
Penjimatan ini melibatkan 800,000 penjawat awam gred 29 ke atas dan tidak termasuk kakitangan ‘frontliners’. Dianggarkan sumbangan ini bernilai RM30 juta.

Pada masa yang sama Kementerian Kewangan menyeru pemotongan gaji kakitangan GLC dan badan berkanun.

Pemotongan begini, bagi mereka yang mendapat gaji lumayan dan ada di peringkat atasan saya alu-alukan, sekurang-kurangnya simbol kebersamaan berhadapan pandemik Covid.
Namun tidak adil bagi mereka di gred 29, malah 41-48 bagi saya, untuk dipotong elaun mereka. Mereka terbeban dengan pelbagai kesukaran – mungkin pasangan tidak bekerja, membeli peranti dan data untuk anak-anak, dan dilarang atau tidak digalakkan melakukan pekerjaan sambilan. Maka pemotongan-pemotongan ini, walaupun pada jumlah yang kecil, akan membebankan mereka.

Dari satu sudut, mereka juga ‘frontliners’ – kita mahukan rakyat biasa terus berbelanja untuk memastikan kitaran ekonomi berterusan. Golongan B40 dan M40 lebih banyak menghabiskan wang mereka yang sedikit untuk berbelanja berbanding golongan di atas. Impak perbelanjaan mereka lebih dirasai.

Tambahan pula pemotongan ini teramat kecil berbanding dengan keperluan kewangan Kerajaan pada hari ini. Pemerkasa Plus terbaru yang diumum kerajaan adalah RM40 bilion, lebih 1300 kali ganda penjimatan pemotongan elaun penjawat awam.

Kerajaan sepatutnya meminda akta yang berkaitan untuk membolehkan Kerajaan meminjam wang yang lebih, dan memastikan pekerjaan diselamatkan, mereka yang miskin dibantu dan sektor kesihatan dan pendidikan terus mendapat sokongan padu daripada pihak Kerajaan.

Pindaan had pinjaman kerajaan sementara yang dibuat tahun lepas tidak cukup untuk menampung keperluan ekonomi negara yang terkini.

Dalam keadaan pihak swasta dan orang awam terjejas teruk, Kerajaan adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan ekonomi negara.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Setiausaha Pengelola
Ahli Parlimen Setiawangsa

Related Posts
crossmenuchevron-up