1.Pembangunan Aplikasi ADIL yang bakal digunakan dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2022 ini kini, dalam peringkat akhir pembangunannya dan bakal diluncurkan dalam masa yang terdekat ini.
2. Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah menerima pelbagai pertanyaan terhadap Aplikasi ini, yang kini boleh dimuat turun dalam Google Play Store dari telefon operasi Android dan sedang menanti kelulusan dari Apple App Store untuk telefon yang menggunakan operasi iOS.
3. Aplikasi ADIL ini masih dalam tempoh percubaan (trial run) dan JPP akan mengumumkan secara rasmi bilakah ia benar-benar dapat digunakan sepenuhnya atas dual fungsi terawalnya, iaitu kemaskini data keanggotaan yang sekali gus akan menjadi daftar pemilih, dan bagi anggota menyatakan persetujuan untuk mendaftar sebagai pengundi atas talian. Jika tidak anggota secara automatik akan merupakan anggota yang boleh hadir secara fizikal di lokasi-lokasi Pengundian yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kelak.
4. JPP benar-benar menggalakkan dan menyeru seramai mungkin anggota-anggota parti mendaftarkan diri sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) kerana ini akan lebih memudahkan urusan pemilihan khususnya di musim jangkitan pandemik Covid 19 yang masih belum menunjukkan kelegaan ini.
5. Kemaskini yang dibenarkan dari aplikasi ini adalah terhad hanya kepada beberapa maklumat asas; iaitu nombor telefon, alamat email dan juga alamat tempat tinggal. Pemilih harus benar-benar pasti untuk meletakkan satu sahaja nombor telefon yang bakal digunakan kelak dalam proses pemilihan atas talian yang dijangkakan akan dilaksanakan pada pertengahan Mei 2022.
DR. ZALIHA MUSTAFA
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti
Parti Keadilan Rakyat