Carian
October 26, 2022

PEMBINAAN LOJI KUASA BARU RM9.5 BILION TIDAK MELALUI TENDER TERBUKA TAKIYUDDIN PERLU PERJELAS MENGAPA IANYA BUKAN 1MDB KEDUA

Dua hari lepas, saya telah mendedahkan bagaimana Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) mengeluarkan Surat Hasrat (LOI) supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Widad Business Group Sdn Bhd (WIDAD) akan membina sebuah loji penjana kuasa baru bernilai RM9.5 bilion. 

Saya mempersoalkan mengapakah TNB sebagai syarikat utiliti terbesar di Malaysia perlu memberikan 40% kepentingan kepada WIDAD, dan bukan membina dengan keupayaan sendiri. 

Seperti biasa, mantan Menteri KETSA PAS Takiyuddin Hassan dan Pengerusi TNB UMNO Hasan Arifin mendiam bisu sehingga hari ini. Menteri dan pimpinan BN/PN akan terus membisu sekiranya rakyat tidak mendesak mereka untuk tampil menjawab. 

Maka hari ini saya terus mempersoalkan sama ada projek usahasama ini memenuhi kriteria ketelusan dan kepertanggungjawaban. Misalannya, adakah projek ini melalui proses tender terbuka? Pengumuman TNB hanya memetik aspek “menyokong Aspirasi Karbon Rendah 2040 kerajaan di bawah Dasar Tenaga Negara dan komitmen kerajaan untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050” dan langsung tidak menyentuh tentang proses tender. 

Amat luar biasa juga KETSA membuat keputusan mengeluarkan LOI sembilan tahun sebelum pengoperasian loji tersebut, satu jangka masa yang panjang. Keputusan juga dibuat selepas parlimen bubar dan kurang sebulan menjelang Pilihanraya ke-15. Adakah ianya mempunyai udang di sebalik batu? 

Saya tidak mempunyai masalah menyokong agenda mengurangkan perlepasan karbon di bawah agenda alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) yang pastinya amat penting dalam menangani perubahan iklim dan pemanasan global. Cuma dalam usaha mengejar E (Environment atau alam sekitar), adakah G (Governance atau urus tadbir) telah diabaikan sehingga menimbulkan keraguan rakyat dan pelbagai pihak? 

Jangan lupa kali terakhir projek yang mirip ini adalah pembinaan loji kuasa 2,000MW oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2014. Sebagai pimpinan kanan dalam BN/PN, Takiyuddin dan Hasan Arifin wajib tampil menjawab supaya nama parti mereka terpelihara. 

Lee Chean Chung

Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up