Carian
September 27, 2022

Pemenang Masih Sindiket Penipuan Online Dan Bukan BNM

Dalam usaha membanteras penipuan kewangan online (financial scams), Saya mengalu-alukan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperketatkan keselamatan perbankan dengan beberapa langkah, antaranya temasuk menamatkan penggunaan OTP SMS dan beralih kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.

Ini merupakan satu kemenangan buat kumpulan dan individu, termasuk #ScamVictimSupport yang bertungkus-lumus memberikan tekanan ke atas isu ini sehingga makin ramai orang awam yang sedar dan turut mendesak perubahan daripada BNM.

Saya perhatikan masyarakat rata-rata berasa puas hati dengan perkembangan tersebut, walaupun langkah yang lama disyorkan ini hanya dilaksanakan selepas keadaan menjadi parah. Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah memaklumkan bahawa sebanyak 63,723 mangsa yang ditipu dalam scam online sejak tahun 2019 hingga Julai 2022. Sekiranya langkah drastik diambil 6 bulan lebih awal, sebanyak 12,000 kes penipuan online yang melibatkan kerugian purata sebanyak RM34,304 seorang akan dapat dielakkan atau dikurangkan.

Trajedi ini sebenarnya dapat ditangani dengan lebih awal kerana BNM merupakan sebuah badan berkuasa yang berkeupayaan untuk mendesak peningkatan tahap keselamatan online bank-bank komersil. Persoalannya, adakah duit dan harta hampir 64 ribu mangsa tersebut dapat dikesan dan dikembalikan kepada mereka? Ataupun mereka akan terus dibiar dan dilupakan begitu sahaja?

Kesilapan ini berpunca daripada ketidaksedaran BNM atas kuasa mereka yang ada serta kelembapan untuk bertindak. Akibatnya, sehingga saat ini lebih kurang 58 orang yang diperangkap dalam penipuan online setiap hari oleh sindiket yang menggunakan modus operandi yang hampir sama.

Kelembapan agensi-agensi penguatkuasaan termasuk BNM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan juga kerjasama bank-bank komersil untuk bertindak secara kolektif dan pantas sejurus selepas penipuan berlaku juga menyulitkan pengesanan wang yang dicuri tersebut.

Lebih memalukan adalah terdapat penipuan yang terang-terang menggunakan lambang agensi yang sepatutnya menjaga rakyat seperti BNM dan PDRM. Ini umpama tindakan memijak kepala tuan, tetapi sedihnya tiada seorang sindiket utama yang ditangkap dan dihadap ke mahkamah.

Maka di samping mengharapkan “langkah bayi” ini dapat disusuli dengan kaedah serta reformasi lain, kita kena akui bahawa ‘Pemenang’ dan ‘jaguh’ buat beberapa tahun ini sebenarnya adalah sindiket penipuan dan bukan BNM.

YB LEE CHEAN CHUNG
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Penasihat #ScamVictimSupport

Related Posts
crossmenuchevron-up