Carian
February 3, 2022

Penahanan Oleh SPRM Dalam Projek LCS

Baru-baru ini SPRM telah menahan beberapa individu berhubung kontroversi Kapal Tempur Pesisir (LCS). Ia memang perlu dilakukan. Rakyat sudah tentu inginkan pihak yang bertanggungjawab atas pelbagai dakwaan salah laku berkaitan kes ini didakwa di mahkamah dan menerima hukuman yang setimpal.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion—perlaksanaan perolehan pertahanan terbesar untuk peralatan baharu dalam sejarah Malaysia—adalah salah satu daripada beberapa isu yang telah diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri semasa saya menjadi pengerusinya.

Projek ini telah dicemari oleh beberapa kontroversi, termasuk kegagalan untuk menghantar kapal seperti yang dijadualkan dengan kos berlebihan, bayaran yang dipertikaikan dan persoalan tentang bagaimana ia diberikan. Ia membuatkan kita semua berfikir, bagaimana projek sebesar ini diberikan dan diuruskan.

Disebalik penahanan itu, rakyat Malaysia seharusnya diberitahu tentang gambaran menyeluruh mengenai kontroversi ini. Ia akan berlaku sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibenarkan meneruskan serta menyelesaikan tugasnya dalam isu ini.

PH tidak gagal dalam menguruskan isu LCS kerana Jawatankuasa ini bekerja dengan baik dan bergerak dengan pantas sehinggalah berlaku pertukaran kerajaan, ia menghalang proses itu.

Penahanan yang berlaku tidak boleh dianggap sebagai "tutup kes" atau "misi tercapai", kerana belum ada yang didakwa dan kerajaan semasa masih belum menggariskan secara terbuka dan komprehensif bagaimana mereka berhasrat untuk memastikan LCS akhirnya disiapkan atau masalah seperti ini tidak akan berulang.

Pengajaran mesti diambil supaya negara ini tidak berdepan dengan belanjawan yang lebih besar untuk projek-projek yang bermasalah. Adakah kerajaan sedia ada mempunyai iltizam politik untuk memastikan perkara ini?

NIK NAZMI NIK AHMAD
MANTAN PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN MENGENAI PERTAHANAN DAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up