Carian
May 19, 2021

Penganjuran Kongres Nasional KEADILAN Secara Maya

Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 15 Mei 2021, Sabtu yang lalu dan telah membuat ketetapan berikut berhubung penganjuran Kongres Nasional Tahunan KEADILAN:

1. KEADILAN akan meneruskan Kongres Nasional Tahunannya yang dijadualkan pada 4, 5 dan 6 Jun 2021 dengan perubahan format secara dalam talian sepenuhnya. Ini berbeza dengan perancangan asal kami yang akan menganjurkan secara bersepadu (hybrid) sepertimana yang diumumkan dalam sidang media kami bertarikh 3 Mei 2021.

2. Kongres Nasional Tahunan KEADILAN akan dimulakan dengan kongres sayap-sayapnya iaitu Kongres Wanita KEADILAN diadakan pada 4 Jun 2021 disusuli dengan Kongres Angkatan Muda KEADILAN pada 5 Jun 2021 dan diakhiri dengan Kongres Nasional KEADILAN pada 6 Jun 2021.

3. Kesemua 2,400 orang Perwakilan dan pimpinan KEADILAN akan menyertai Kongres ini menerusi aplikasi zoom daripada rumah masing-masing dan tidak berlaku perkumpulan fizikal. Pihak media dan orang awam boleh mengikuti persidangan ini menerusi siaran secara langsung dari laman media sosial KEADILAN.

4. Langkah ini diambil selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan selepas peningkatan jangkitan COVID-19 yang semakin tidak terkawal. Ini juga sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan persidangan diadakan.

5. KEADILAN telah menulis kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung keputusan ini selain turut memaklumkan keputusan terbaru ini, berhubung perubahan pelaksanaan Kongres, kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

6. KEADILAN dengan ini menyeru kepada semua pihak, tidak kira status sosial yang dipegang saudara saudari sama ada ‘kayangan’ atau marhaen, untuk terus mematuhi SOP dan bertanggungjawab atas setiap tindakan kita dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up