Carian
June 17, 2022

Penglibatan NAFAS Dan ANGKASA Dalam Sektor Penternakan Ayam Adalah Strategi Lautan Merah (Red Ocean Strategy)

1. Kerajaan telah mengumumkan bahawa NAFAS dan Angkasa akan menceburi bidang penternakan ayam. Mereka dikatakan mensasarkan 20% pasaran ayam domestik.

2. Secara prinsip, saya mengalu-alukan sebarang pelaburan ke dalam sektor pertanian untuk meningkatkan pengeluaran dan memodenkan sektor pertanian.

3. Sektor pertanian makanan (Agrofood) terlalu lama dipandang ringan. Selepas Kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, barulah ada rancangan bersungguh-sungguh menitikberatkan sektor pertanian. Adalah baik Kerajaan sekarang meneruskan usaha kerajaan PH untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor pertanian.

4. NAFAS dan Angkasa merupakan dua pertubuhan koperasi terbesar di negara kita. Ahli Pertubuhan Peladang Nasional melebihi 1 juta orang manakala ANGKASA mempunyai ahli lebih daripada 7 juta orang.
5. Kemasukan dua gergasi koperasi ke dalam sektor penternakan ayam sudah tentunya akan menggegarkan sektor ini.

6. NAFAS dan ANGKASA dijangka akan menggunakan ratusan juta ringgit caruman daripada ahli-ahli mereka dalam pelaburan baharu ini. Ahli-ahli pula mengharapkan pulangan lumayan daripada pelaburan mereka.

7. Maka, saya inigin menasihati NAFAS dan ANGKASA agar membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu demi kepentingan (members' best interest) jutaan ahli mereka.

8. Saya berpandangan bahawa sektor penternakan ayam ini mungkin agak berisiko kepada ahli-ahli NAFAS dan ANGKASA.

9. Pertama sekali, sektor penternakan ayam adalah Lautan Merah (red ocean). Sektor ini telah wujud pemain-pemain industri yang ramai dan sesak (crowded).

10. Kedua, margin keuntungan agak tipis kerana harga ayam kekal rendah selama puluhan tahun. Rakyat berkehendakkan harga ayam rendah, maka kawalan harga oleh kerajaan selalunya menyebabkan kerugian kepada para penternak.

11. Ketiga, bekalan domestik telah mencecah 105% SSR (Self Sufficient Rate). Hal ini bermaksud pasaran telah tepu. Tidak wujud pasaran baharu.

12. Atas faktor inilah, kemasukan NAFAS dan ANGKASA tidak semestinya membawa keuntungan yang dijangkakan, malah mungkin menghadapi kerugian.

13. Selain itu, seperti dijanji oleh PM, NAFAS dan ANGKASA akan mendapat bantuan kerajaan. Mereka mungkin akan mendapat tanah percuma kerajaan, mungkin dapat grant atau pinjaman faedah rendah. Pelbagai subsidi akan dipertimbangkan. Permohonan lesen di semua peringkat akan dipermudahkan.

14. Mereka akan mencapai skala ekonomi. Kos pengeluaran sudah tentu lebih murah.

15. Penternak-penternak kecil yang sedia ada sudah tentunya tidak dapat bantuan sebegini. Mereka masih perlu membayar pinjaman bank. Mereka masih membayar sewa tanah. Ini wujud ketidakadilan (uneven level playing field). Mereka sudah tentu akan kalah kepada koperasi gergasi ini. Apakah nasib petani kecil ini?

16. Mereka mungkin akan tutup kedai kerana tidak berupaya untuk bersaing.

17. Kehilangan petani adalah satu kehilangan sumber makanan kita kerana No farmers No food.

18. Penternak harus dilihat sebagai benteng sekuriti makanan negara. Kita harus menjaga mereka.

19. Maka, kerajaan harus menimbang semula penglibatan NAFAS dan ANGKASA dalam lautan merah ini.

20. Ada banyak sektor pertanian lagi yang memerlukan perhatian kerajaan. Antaranya tanaman padi (SSR 70%), penternakan ruminan (SSR 20%), lembu tenusu (SSR 50%) sektor penanaman sayur-sayuran (SSR 60%), Akuakultur dan banyak lagi.

21. Penglibatan NAFAS dan ANGKASA dalam Lautan Biru tersebut sangat dialu-alukan. Mereka akan membantu mengurangkan kebergantungan import makanan dari luar negara.

22. Bukankah itu strategi yang lebih bijak?

Sim Tze Tzin
MP Bayan Baru
Jurucakap Parlimen Pertanian dan Komoditi
Parti KEADILAN Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up