Carian
July 13, 2021

PN Perlu Meredakan Ketidaktentuan Ekonomi Untuk Menjamin Peluang Pekerjaan Dan Pelaburan Asing

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan menggesa pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengubah fokus pengurusan pandemik COVID-19 daripada terlalu bergantung kepada pelaksanaan sekatan pergerakan secara umum kepada pendekatan bersasar dan sistematik melalui kaedah pengenalpastian pantas, pengasingan dan pengekangan jangkitan.

Perubahan strategi ini akan merintis langkah awal kepada pembukaan semula kegiatan ekonomi secara berperingkat yang akan dapat memulihkan pasaran pekerjaan dan meredakan kebimbangan para pelabur.

Pelbagai kumpulan pelabur termasuklah Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia, Malaysian Dutch Business Council, dan Malaysian-German Chamber of Commerce and Industry mengeluarkan kenyataan dan mendesak kerajaan untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bukan hanya mengganggu kelancaran operasi tetapi turut gagal mengekang penularan wabak.

Siri lawatan kerja ke pelbagai negara asing oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali akan menjadi sia-sia sekiranya beliau dan seluruh barisan pimpinan Perikatan Nasional gagal menangani permasalahan pokok yang berisiko menarik keluar pelabur sedia ada.

Sasaran untuk membuka semula sektor ekonomi negara secepat mungkin tidak akan tercapai selagi kita gagal untuk mengekang penularan wabak di tempat kerja. Kewujudan kluster-kluster tempat kerja sepanjang tempoh PKP membuktikan bahawa kita tidak lagi boleh menggunakan takrifan kabur mengenai tahap keperluan sesuatu sektor ekonomi sebagai kayu ukur untuk diberikan kebenaran terus beroperasi.

Sebaliknya, kebenaran beroperasi haruslah diberikan berdasarkan penilaian saintifik ke atas risiko penyebaran jangkitan dalam sektor ekonomi tersebut. Dengan pendekatan ini, SOP akan terarah kepada usaha-usaha mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja seperti meningkatkan kualiti pengudaraan di ruang tertutup. Selain itu, kegiatan operasi di luar premis dan di ruangan terbuka akan dikategorikan sebagai berisiko rendah dan dapat diteruskan dengan mematuhi arahan penjarakkan fizikal.

Penilaian risiko secara saintifik ini juga akan membenarkan Malaysia untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi berisiko secara berperingkat dan seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk membantu sektor-sektor ekonomi berisiko tinggi mewujudkan ruang kerja kalis pandemik.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Jun 2021, kami sekali lagi menggesa kerajaan untuk berbelanja dan melabur untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam serta mewujudkan ruang kalis pandemik demi kelangsungan kegiatan ekonomi. Selain meningkatkan kadar pemberian vaksin kebangsaan, antara langkah-langkah yang perlu diutamakan termasuk:

● Kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran, pembiayaan mudah dan insentif cukai untuk mewujudkan ruang kerja, kilang dan kuarters pekerja yang kalis pandemik;
● Mewajibkan ujian saringan bersubsidi di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal membendung penularan wabak;
● Meningkatkan peruntukan untuk menambahkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam demi menangani wabak COVID-19 dan varian-varian baru virus tersebut.

Kegagalan dan impak ekonomi daripada siri sekatan pergerakan sebelum ini haruslah menjadi iktibar bahawa PKP bukanlah langkah terbaik untuk memerangi wabak COVID-19 dalam jangka masa panjang. Ia tak ubah seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kerajaan seharusnya perlu memikirkan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik ini yang tidak memudaratkan masa depan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan:
YB Tony Pua Kiam Wee (Ahli Parlimen Petaling Jaya, DAP)
YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, AMANAH)
YB Wong Chen (Ahli Parlimen Subang, KEADILAN)
YB Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Ahli Parlimen Wangsa Maju, KEADILAN)
YB Noor Amin Ahmad (Ahli Parlimen Kangar, KEADILAN)
Ammar Atan (Pemuda AMANAH)
Raja Iskandar Fareez (DAP)
Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Pemuda AMANAH)
E Hun Tan (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up