Carian
July 13, 2022

PUTAR BELIT NAJIB ISU WARIS KESULTANAN SULU DAN PETRONAS

Mantan Perdana Menteri Najib Razak cuba meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pentadbiran Pakatan Harapan berkaitan isu waris Kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan bernilai AS$2 bilion (RM8.87 bilion).

Ini sebahagian dari tuntutan mereka bernilai AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada kerajaan Malaysia.

Peguam waris Kesultanan Sulu dilaporkan merampas aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.

Perkara ini telah disahkan Petronas semalam. Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukannya dari segi undang-undang.

Semalam sahabat saya, YB Chan Foong Hin mempersoalkan di mana Peguam Negara semasa yang sepatutnya memastikan perkara ini tidak berlaku?

Mengapa tidak ada injunksi atau perintah sekatan yang difailkan terhadap pewaris kesultanan Sulu yang dikatakan melakukan tindakan undang-undang yang tidak berasas?

Apa yang telah dilakukan Peguam Negara dan kerajaan setelah perintah timbang tara diperoleh? Apakah yang telah dilakukan untuk mengetepikan perintah timbang tara itu?Saya hanya melihat Najib seperti biasa menyalahkan Pakatan Harapan.

UMNO sebahagian daripada Kerajaan hari ini. Malah, Perdana Menteri juga dari UMNO.

Kita jangan lupa, insiden pemberhentian bayaran pajakan RM5,300 setahun berlaku pada 2013, ketika UMNO menerajui Kerajaan. Siapa lagi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu jika bukan Najib?

Adalah lebih baik beliau menasihatkan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera.

Sekiranya ia dibiarkan, satu lagi aset negara akan hilang; ia juga jelas mencemarkan kedaulatan negara.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up