Carian
May 15, 2021

Rina dan Siti Patut Letak Jawatan Perlekeh Nyawa Warga Emas

Saya merujuk kepada klip video Hari Raya YB Datuk Rina Harun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang berlakon sebagai penghantar makanan dan Kenyataan YB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim bertarikh 20 Februari 2021 bahawa hampir 70% daripada jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah warga emas (60 tahun ke atas) dan anggaran pemberian vaksin fasa kedua bagi warga emas adalah antara April sehingga Ogos 2021.

Perdana Menteri perlu menerima hakikat bahawa mungkin Rina adalah Menteri yang paling gagal di antara anggota – anggota kabinet beliau. Dengan peranan Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM yang seharusnya membela nasib golongan rentan, adakah mereka rasa mereka telah membuat yang terbaik dalam usaha melambatkan jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan warga emas, terutamanya di pusat jagaan warga emas sepanjang setahun dunia ini dilanda Pandemik? Yang jelas dapat dilihat 'peranan' Rina adalah sewaktu menjadi model majalah. Dan kini menjadi pelakon? Timbalan Menteri KPWKM pula membisu.

Tambahan lagi, menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham bertarikh 4 Mac 2021, kadar kematian dalam kalangan penghuni pusat jagaan warga emas agak tinggi(1.48%) berbanding kadar kematian kebangsaan(0.38%), seramai 610 penghuni di pusat jagaan warga emas sudah dijangkiti wabak Covid-19.

Keresahan dan kemurungan yang dihadapi oleh penghuni warga emas di pusat jagaan semakin meningkat kerana berlakunya pengasingan diri dan penjarakkan fisikal dalam jangka panjang akibat penularan wabak Covid-19. Oleh yang demikian, penghuni warga emas kekurangan akses kepada maklumat luar dan peluang bagi berjumpa dengan ahli keluarga dan rakan.

Tambahan pula, Isu kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) asas bagi pekerja penjagaan juga merupakan salah satu punca golongan warga emas mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19. Hal ini kerana bantuan penjagaan secara fizikal menjadi keperluan harian utama buat penghuni yang tidak dapat mengurus penjagaan diri tanpa bantuan.

Oleh itu, saya memohon Rina mengambil sedikit masa menjawab lima persoalan di bawah walaupun beliau mungkin masih sibuk dengan aktiviti branding peribadinya:
(i) Apakah tindakan mitigasi yang diambil oleh Rina untuk memelihara kesihatan mental warga emas terutamanya penghuni di pusat jagaan orang tua sejak negara dilanda Covid-19?

(ii) Adakah Rina memastikan penjaga atau kakitangan di setiap pusat penjagaan warga emas di negara ini dibekalkan PPE asas yang cukup dan digunakan mengikuti panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 4 November 2020?

(iii) Adakah Rina telah memohon Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19(JKJAV) mengutamakan institusi penjagaan warga emas dan memberi kemudahan Pasukan Perubatan bergerak ke pusat penjagaan warga emas untuk memberikan suntikan vaksin?

(iv) Adakah Rina telah mengaktifkan Unit Komunikasi Korporat(UKK) dalam kementerian atau memohon kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang menjaga komunikasi dua hala bagi menyampaikan kesedaran pendaftaran vaksin kepada warga emas secara strategik?

(v) Adakah Rina telah memohon JKJAV bagi memastikan pemakluman jadual temujanji vaksin dijalankan melalui panggilan telefon memandangkan kebanyakkan warga emas kurang peka penggunaan SMS dan amalan semak applikasi MySejahtera?

Adakah angka – angka kes kematian warga emas akibat covid-19 dalam kaca mata Kabinet PN cuma soalan matematik yang tanpa nyawa? Semua pihak telah memberi semua kemudahan termasuk proklamasi darurat yang dituntut oleh Kabinet PN dan mempunyai kuasa mutlak bagi memerangi Pandemik Covid -19 dan memimpin rakyat ke arah pemulihan pasca – pandemik, apakah lagi Kabinet ini mahu daripada rakyat jika mereka sendiri yang gagal?

Rina dan Siti, sila memohon maaf kepada ahli keluarga kepada mendiang mangsa warga emas Covid-19 dengan segera dan berundur.

Loh Ker Chean
Bekas Pengurus Program Warga Emas(Chinese Welfare Services South Australia Incorporated)
Pengarah Komunikasi Wanita Keadilan

Related Posts
crossmenuchevron-up