Carian
May 27, 2021

Rina Terbukti Gagal Mengutamakan Penghuni Warga Emas di Pusat Jagaan

1.Menerusi kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) YB Dato Seri Rina Harun pada 25 Mei, beliau terbukti gagal mengutamakan pemvaksinan penghuni di pusat jagaan warga emas seluruh negara kerana hanya 652 penghuni warga emas telah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di pusat jagaan berdaftar dengan KPWKM walaupun sudah satu bulan lebih Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan sejak 19 April lalu.

2.Tambahan pula, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) YB Khairy Jamaluddin berkata (18 Mei), masih terdapat 1300 pusat jagaan dan kira – kira 22,000 orang penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas yang bukan dalam radar kerajaan belum tampil mendaftar apatah lagi menerima vaksin.

3.Seharusnya semua penghuni warga emas pusat jagaan tidak kira berdaftar atau tidak berdaftar dengan KPWKM telah menerima suntikan vaksin pada bulan pertama.
Keutamaan pemvaksinan di pusat jagaan warga emas adalah genting kerana menurut data Kementerian Kesihatan (4 Mac), kadar kematian warga emas di pusat jagaan adalah tinggi (1.48%) berbanding dengan kadar kematian kebangsaan (0.38%).

4.Walaubagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada Rina kerana akhirnya muncul dan memaklumkan kepada rakyat mengenai perkembangan terkini pemvaksinan warga emas selepas satu minggu lebih saya mempersoalkan isu ini dalam kenyataan saya pada 15 dan 18 Mei.

5.Kerisauan yang ingin saya sampaikan melalui kenyataan saya pada 15 Mei ternyata telah berlaku di Negeri Kelantan. Berdasarkan penjelasan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) pada 25 Mei, dimaklumkan bahawa terdapat warga emas yang tidak mahir menggunakan MySejahtera dan kekurangan maklumat tepat merupakan punca – punca utama 10000 warga emas di negeri Kelantan tidak hadir janji temu untuk menerima suntikan vaksin.

6.Perkara ini menunjukkan bahawa pelan komunikasi kesedaran pemvaksinan kepada kumpulan sasar warga emas adalah gagal teruk dan Rina juga gagal memahami dan menekankan keperluan warga emas kepada PICK. Perlu untuk Rina sedar bahawa perkhidmatan panggilan telefon dan peringatan adalah kemudahan asas bagi mengurus golongan warga emas ini. Tambahan lagi, kita mempunyai 2.3juta warga emas berusia 65 ke atas (angka Jabatan Perangakaan Malaysia).

7.Demi mendorong lebih ramai warga emas keluar menerima suntikan vaksin, saya mencadangkan kerajaan supaya bekerjasama dengan pemimpin masyarakat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua Kampung dan Ahli Majlis tempatan menyusun pengangkutan untuk membawa warga emas dari rumah ke Pusat Pemberian Vaksin khususnya di kawasan luar bandar.

Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up