Carian
April 22, 2022

Senarai Akhir Calon-Calon Peringkat Cabang Dan Pimpinan Tertinggi Parti

1. Fasa pencalonan Pemilihan 2022 bagi Parti Keadilan Rakyat telah selesai melalui proses bantahan dan rayuan serta penarikan diri di seluruh negara. Kini,Jawatankuasa Pemilihan Parti bersedia untuk mempamerkan senarai muktamad butiran calon-calon Majlis Pimpinan Pusat dan Jawatankuasa Cabang secara keseluruhan.

2. Secara keseluruhan, fasa pencalonan bagi Pemilihan 2022 sama ada mereka yang mencalonkan diri sendiri atau yang menerima pencalonan dari anggota lain melibatkan lebih 11,000 pencalonan.

3. Dari jumlah itu, 11,290 telah pun disahkan pencalonan mereka yang kemudiannya melalui proses bantahan dan rayuan. Bantahan terhadap calon hanya diterima bagi sekitar 8 orang sahaja atas sebab-sebab yang jelas seperti status kebankrapan dan senarai hitam yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

4. Tahniah buat 11,282 calon yang melepasi saringan ini dan layak menyertai senarai akhir pencalonan termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi. Sekali lagi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim muncul calon tunggal Presiden tanpa sebarang pertandingan. Senarai penuh calon-calon ini boleh dilihat di laman webPemilihan 2022 di https://pemilihankeadilan2022.com/

5. Pada ketika ini, JPP sedang dalam persediaan menghadapi fasa pengundian secara fizikal dan dalam talian yang dijadualkan berlangsung dari 13hb Mei 2022 hingga 22hb Mei 2022 yang mana pekeliling berkenaan telah pun dikeluarkan.

6. 21hb April 2022 merupakan hari terakhir permohonan pendaftaran sebagai pemilih atas talian (PAT) melalui aplikasi ADIL. Seramai 96,983 orang telah berjaya memuat turun aplikasi ADIL dan mengemaskini maklumat diri dan kemudiannya memilih untuk menjadi PAT. Menariknya, seramai lebih 700 orang anggota yang kini menetap di luar negara termasuk di Australia, Brunei, Singapura dan lain-lain juga tersenarai sebagai PAT. Meskipun permohonan baharu telah pun ditutup, kerja-kerja akan diteruskan sehingga kesemua yang memohon untuk menjadi PAT selesai ditentusahkan.

7. Sekalung tahniah buat seluruh anggota KEADILAN yang terlibat dalam proses Pemilihan 2022 sehingga ke peringkat ini. Setinggi-tinggi tahniah juga buat mereka yang telah mengemaskini maklumat keanggotaan masing-masing melalui aplikasi ADIL dan menjadi PAT yang pertama di Malaysia dan mungkin di Asia Tenggara. Mana-mana anggota yang tidak berkesempatan masih boleh melaksanakan tanggungjawab memilih secara fizikal di pusat-pusat mengundi yang akan dimuktamadkan lokasinya dalam beberapa hari lagi.

Sekian, terima kasih.

MELARAS . MEMBINA . MEMPERKUAT

DR. ZALIHA MUSTAFA
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up