Carian
September 29, 2021

Siasat Dakwaan Kebocoran Data Peribadi Dengan Teliti Dan Telus

Semalam, terdapat dakwaan bahawa berlakunya kebocoran data peribadi awam menerusi data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Menurut laporan beberapa portal berita, seorang penjual telah meletakkan untuk jualan hampir 4 juta data yang terkandung dalam pangkalan data (database). Data tersebut dikatakan berada dalam milikan JPN yang diambil daripada LHDN melalui Application Programming Interface (API) bagi platform perkongsian sektor awam yang dikenali sebagai myIDENTITY.

Menurut laporan-laporan tersebut juga, data tersebut termasuk nama, e-mel, nombor telefon bimbit, alamat tetap, nombor kad pengenalan dan juga gambar-gambar. Penjual tersebut juga meletakkan tanda harga 0.2 BTC (bitcoin) bersamaan dengan harga sekitar RM35,495.

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan memandang serius terhadap laporan-laporan ini. Sekiranya benar terdapat kebocoran data peribadi daripada pangkalan data awam, ia merupakan suatu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius dan boleh mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuklah penipuan dan kecurian identiti (identity theft), serta boleh mengakibatkan keselamatan negara dikompromi. Ia juga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keselamatan dan integriti data yang disimpan di pangkalan-pangkalan data badan-badan awam seperti JPN dan LHDN.

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan juga mengambil maklum penafian oleh pihak LHDN tentang kebocoran maklumat ini. Kami juga mengambil maklum bahawa Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan mengenai perkara ini di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dan kenyataan media Menteri Dalam Negeri bahawa tiada kebocoran berlaku. Akan tetapi, kami menggesa supaya siasatan harus diteruskan dengan teliti dan telus, tanpa apa-apa campur tangan daripada mana-mana pihak. Di samping itu, keputusan siasatan ini wajib dimaklumkan kepada orang ramai setelah selesai supaya benar-benar dapat meyakinkan orang ramai bahawa data peribadi mereka masih selamat.

Pada masa yang sama, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan mencadangkan supaya Kerajaan menyemak semula keberkesanan dan keutuhan infrastruktur keselamatan bagi maklumat dan data yang disimpan oleh badan-badan awam. Sekiranya perlu, infrastruktur keselamatan yang sedia ada perlu dinaiktaraf bagi menghadapi cabaran keselamatan siber pada masa ini.

MENYELAMATKAN NEGARA MEMULIHKAN DEMOKRASI

YB MUHAMMAD FAIZ FADZIL (AMANAH)

YB SYED IBRAHIM SYED NOH (KEADILAN)

SYAHREDZAN JOHAN (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up