Carian
February 18, 2022

SPR Perlu Lanjutkan Tempoh, Permudah Proses Pendaftaran Undi Pos

Saya mengikuti beberapa laporan berita yang berkata ramai pengundi Johor yang berada di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos. Berdasarkan satu laporan media, dianggarkan cuma 1% dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari yang lalu.

Saya lihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai peranan yang amat penting terutama dalam memastikan pengundi yang layak mengundi diberikan hak tersebut, termasuk bagi yang berada di luar negara. Ini antara tugas hakiki SPR, demi memastikan proses demokratik berjalan dengan lancar.

Oleh itu, saya gesa pihak SPR untuk segera mengumumkan jumlah sebenar pengundi Johor yang telah mendaftar sebagai pengundi pos, mengikut negara di mana mereka berada.

Saya turut menggesa SPR untuk melanjutkan tempoh pendaftaran, memudahkan proses dan lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial.

Tempoh 9 hari yang telah diberi SPR ini amat singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dan berhak dapat mendaftar serta melaksana tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara.

Dalam keadaan pandemik yang belum reda ini, proses demokrasi tidak harus “dikuarantin” atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

Related Posts
crossmenuchevron-up