Carian
May 10, 2023

Tahniah kepada Mahathir kerana beliau telahpun menjadi “Ketua Umum” kepada PN!

Merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mencabar YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kekayaannya, saya berpendapat bahawa seruan yang senadi dengan Tun Dr Mahathir  tersebut menunjukkan bahawa BERSATU mula tunduk kepada Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) tersebut.

Perkembangan terkini melihatkan sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Mahathir. Kini, Faizal sebagai pimpinan kanan BERSATU pula mendokong kenyataan beliau. Jelas bahawa pengaruh PAS dan BERSATU dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir.

Amat pelik juga pimpinan ulung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun diketepikan. Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut terpinggir untuk memberikan ruang kepada Mahathir. Tahniah kepada Mahathir kerana beliau telahpun menjadi “Ketua Umum” kepada PN!

Saya juga ingin memperjelaskan bahawa dakwaan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mendedahkan kekayaan beliau adalah tidak benar sama sekali. Malah, beliau telah mengisytiharkan harta pada 9 November 2022 sebagai inisiatif ketelusan KEADILAN untuk mewajibkan semua calon-calon yang bertanding supaya mengisytiharkan harta.  

Malangnya, walaupun BERSATU/PAS sering kali melabelkan diri sebagai blok yang bersih dan beramanah, langkah-langkah membina budaya politik yang sihat dan telus ini tidak diamalkan. Malah, Presiden BERSATU kini berhadapan dengan isu akaun parti yang dilambakkan dengan duit semasa negara berhadapan dengan krisis COVID19 dan kini perlu menjawab di mahkamah.

Saya menyeru agar rakyat boleh menilai perangai pimpinan-pimpinan PN secara terbuka. Jelas fokus mereka bukanlah untuk memajukan ekonomi dan meringankan beban rakyat, sebaliknya percaturan politik yang bersifat opportunis, iaitu sudi bekerjasama dengan sesiapa jua asaskan dapat terus kekal relevan. 

YB Lee Chean Chung

Pengarah Komunikasi Pusat KEADILAN

Ahli Parlimen Petaling Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up