Carian
November 16, 2022

TENDER PEROLEHAN MERIAM 155MM SELF- PROPELLED HOWITZER (SPH) KEPADA SYARIKAT BERKAITAN KELUARGA TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN, IKMAL HISYAM ABDUL AZIZ

Sebelum ini, saya telah mendedahkan bagaimana Kementerian Kewangan menolak permohonan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan tender terhad bagi kontrak perolehan meriam 155MM self-propelled Howitzer (SPH) dan mengarahkan supaya perolehan ini diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang berusia kurang dari tiga tahun pada jumlah tender sebanyak RM854,345,900. 

Saya juga telah menyebut sebelum ini bahawa syarikat ini ada hubung kait dengan Timbalan Menteri Pertahanan sendiri, iaitu Ikmal Hisyam Abdul Aziz, calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Tanah Merah. 

Untuk membawa kembali perhatian orang ramai kepada perkara ini, saya sertakan dokumen- dokumen yang mengesahkan bahawa tender ini telah diarahkan untuk diberikan secara rundingan terus: 

20221116 [GE15] Tender Meriam SPH Kepada Syarikat Berkaitan Timbalan Menhan (1)

Saya percaya bukti-bukti ini cukup untuk menunjukkan bahawa MA Analytics Sdn Bhd, syarikat setahun jagung yang diberikan Surat Niat untuk membekalkan meriam SPH kepada Angkatan Tentera Malaysia adalah berkait dengan Ikmal Hisham Abdul Aziz melalui anak dan isterinya. 

Pendedahan saya hari ini membuktikan bahawa bukan sahaja projek LCS telah mengalami masalah, projek persenjataan yang lain seperti meriam SPH juga telah diberikan (melalui Surat Niat) kepada syarikat yang berkaitan dengan Timbalan Menteri Pertahanan sendiri. 

Perkara ini tidak ubah seperti apa yang pernah berlaku semasa projek LCS dahulu apabila syarikat Alizes Marine Ltd dan Mega P Asia Sdn Bhd yang berkait dengan Latiff Ahmad, mantan Timbalan Menteri Pertahanan mendapat tender-tender perbekalan projek LCS. 

Kedua-dua Latiff Ahmad dan Ikmal Hisham Abdul Aziz adalah pemimpin kanan Perikatan Nasional. 

Sudah sampai masanya Muhyddin Yassin berhenti mendabik dada kononnya Perikatan Nasional adalah gabungan yang bersih. 

RAFIZI RAMLI 

Related Posts
crossmenuchevron-up