Carian
March 24, 2022

Usul Tewas, Salahkan MOU Dan Pembangkang?

1. Kerajaan bawa Usul untuk lanjutkan kuatkuasa Seksyen 4 (5) Akta SOSMA untuk selama 5 tahun lagi. Seksyen ini memperuntukkan tempoh 28 hari tanpa bicara ke atas tahanan, yang dianggap zalim. Ia boleh dikaji semula setiap 5 tahun menurut peruntukan tersebut

2. Seramai 16 orang Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang telah berbahas dan kemudian digulung oleh Menteri Dalam Negeri. Saya telah turut mencelah.

3. Selesai penggulungan, Usul perlu diluluskan. Namun pihak pembangkang telah bangkit meminta diadakan undi belah bahagi, bukan sekadar undi suara. Undi belah bahagi bermaksud setiap Ahli Parlimen yang hadir ditanya berkenaan undi mereka seorang demi seorang.

4. Maka undi belah bahagi dijalankan. Sebelum itu loceng dibunyikan pertama kali selama 2 minit. Diikuti dengan penangguhan selama 10 minit. Dan loceng kali kedua selama 2 minit. Ini selaras dengan prosedur yang dipersetujui oleh dewan sebelum ini supaya Ahli-ahli Parlimen boleh hadir ke dewan untuk mengundi.

5. Tiada masalah di situ. Tetapi setelah loceng kedua selesai, maka semua pintu ditutup semasa undian dilakukan. Mereka yang tiba lewat terutama selepas undian sudah tentu tidak boleh lagi mengundi.

6. Akhirnya keputusan ialah 86 tidak bersetuju dan 84 bersetuju, maka Usul oleh kerajaan ditolak.

7. Ini satu tamparan hebat ke atas kerajaan kerana gagal mendapatkan majoriti mudah terhadap usul walaupun ia bukan usul kewangan dan tidak membawa kepada hilang kepercayaan kepada kerajaan.

8. Kegagalan tersebut tidak bermakna Akta SOSMA terbatal cuma tempoh 28 hari tahanan tanpa bicara akan luput pada 31 Julai 2022 nanti. Kerajaan dan pihak berkuasa masih boleh gunakan SOSMA untuk tujuan keselamatan. Tidak timbul keselamatan terjejas atau pembangkang tidak hiraukan keselamatan. Selain itu, masih ada undang-undang lain yang boleh diguna pakai seperti kanun acara jenayah. Yang penting hak keadilan diangkat.

9. Selepas peristiwa ini maka terdapat pimpinan UMNO yang dakwa bahawa kerajaan sudah tidak terikat lagi dengan MoU - memorandum persefahaman antara Kerajaan dan PH.

10. Ini tidak benar sama sekali kerana usul tersebut bukan dalam MoU dan tidak dirundingi atau dipersetujui secara bersama pada dasarnya, mengikut Fasal 3.3(b) MOU.

11. Pada masa yang sama, peranan pembangkang sebagai suara semak dan imbang tetap boleh dilaksanakan meskipun ada MoU. Tujuan MoU pun amat jelas iaitu untuk memastikan manfaat rakyat dan negara secara bersama dalam keadaan krisis kesihatan serta ekonomi.

12. Saya mahu mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO ini untuk tidak menangguk di air yang keroh. Bersikap jujurlah dalam menerima kenyataan bahawa kamu berada sama-sama dalam kerajaan tetapi telah gagal menyokong usul.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ahli Parlimen Ledang

Related Posts
crossmenuchevron-up