Carian
May 6, 2024

5 Bukti Ahmad Fadhli Shaari & PAS Bohong Tidak Ada Isu Dengan Sekolah Vernakular

1. Saya terkejut membaca kenyataan Ketua Penerangan PAS, YB Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas, bahawa bagi PAS sekolah vernakular tidak ada isu dan PAS tak pernah menentang sekolah vernakular bahkan kita menyatakan sekolah vernakular boleh wujud tetapi dengan beberapa pembaharuan.

2. Akhbar Sinar Harian pada 22 Jun 2019 dengan tajuk “Hapuskan sistem pendidikan vernakular – PAS” memetik ucapan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Md Nor, yang berkata:

(i) “PAS mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini kerana dasar terbabit tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.”

(ii) “Saya selaku wakil kepada Dewan Muslimat Pas menyeru dan mengharapkan kerajaan PH mengambil tindakan dan memberhentikan pendidikan vernakular.”

(iii) “Kita melihat sistem ini tidak mendekatkan kepada jurang persefahaman antara kaum.”

Bukti kenyataan: https://www.sinarharian.com.my/.../hapuskan-sistem...

3. YB Ustaz Rosli Abdul Jabar, Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, pada 26 Jun 2019 mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman Facebook menyatakan Badan Perhubungan PAS Pahang menyokong penuh kenyataan dan cadangan Ustazah Salamiah Mohd Nor yang merupakan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia dan juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang yang mendesak kerajaan PH supaya menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Bukti kenyataan: https://www.facebook.com/share/6kD88KRrfVSgEmGC/?mibextid=QwDbR1

4. Para pemimpin tertinggi PAS, termasuk Presidennya, Timbalan Presidennya, dan YB Ahmad Fadhli sendiri hadir dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 dan melafazkan “Sumpah Anak Watan” secara beramai-ramai yang salah satu sumpahnya adalah “untuk menjulang sistem pendidikan tunggal” selari dengan resolusi Kluster Pendidikan yang dibentangkan oleh wakil daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Nurul Fatin Aqilah Rahim, yang menuntut sekolah vernakular dimansuhkan.

Bukti kenyataan: https://www.youtube.com/watch?v=CDRucX_VOZU

5. Akhbar rasmi PAS, Harakah, pada 12 September 2020 dengan tajuk “Mansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular” memetik ucapan Pengarah Ameerah Negeri Melaka, Hazirah Isa, yang berkata:

(i) “Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menggesa kerajaan untuk memansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular yang dilihat tidak memupuk perpaduan”.

(ii) “Hanya sekolah satu aliran sahaja yang dapat mendidik dan memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi seterusnya yang bakal mewarisi negara ini.”

(iii) “DMPM seharusnya konsisten dalam mempertahankan pendirian terhadap isu ini. Kita tidak mahu apabila terlibat kesepakatan Perikatan Nasional (PN), kita dilihat tunduk kepada isu ini.”

Bukti kenyataan: https://harakahdaily.net/.../mansuhkan-pelaksanaan.../

6. Tidakkah kenyataan YB Ahmad Fadhli Shaari bahawa bagi PAS sekolah vernakular tidak ada isu dan PAS tak pernah menentang sekolah vernakular bercanggah dengan beberapa contoh yang saya berikan ini? Tidakkah benar kini kandungan ucapan Pengarah Ameerah Negeri Melaka pada 12 September 2020 bahawa apabila PAS menyertai PN PAS dilihat tunduk kepada isu ini?

7. Berbeza dengan PAS yang seringkali bercakap berbelit dan menggadai prinsip perjuangan mengikut kesesuaian politiknya, PH dan KEADILAN, apa lagi DAP, dari dulu konsisten dalam isu sekolah vernakular. Walau di waktu bersama dengan PAS, kita tetap kekal menentang mana-mana gesaan memansuhkan sekolah vernakular.

8. Sebagai contohnya, portal berita The Malaysian Insider pada 20 Jun 2013 dengan tajuk “Anwar: Tumpu kepada perpaduan, tiada keperluan mansuh sekolah vernakular” memetik kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata:

(i) “Tiada keperluan menukar sistem persekolahan vernakular kerana ia telah diterima sejak tahun 1950-60 an sebagai salah satu dasar pendidikan negara.”

(ii) “Penyata Razak, Talib dan Akta Pendidikan Kebangsaan telah mengiiktiraf sistem persekolahan vernakular, sejak itu ia berkembang dan diterima sebagai salah satu Dasar Pendidikan Negara.”

(iii) “Kerajaan sepatutnya menumpukan kepada perpaduan kebangsaan dan kualiti pendidikan kebangsaan.”

Bukti kenyataan: https://malaysia.news.yahoo.com/anwar-tumpu-kepada...

9. Lebih baharu, portal berita Malaysia Kini pada 22 Jun 2019 dengan tajuk “Anwar: Bahasa lain juga penting untuk M'sia maju” melaporkan:

(i) Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas saranan Muslimat PAS agar sekolah vernakular dimansuhkan, antaranya kerana tidak mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa kedua di negara ini.

(ii) “Bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan rasmi tapi beberapa bahasa lain (boleh) dikembang.”

(iii) “Kalau Malaysia mahu maju, selain daripada bahasa rasmi yang diterima oleh semua tanpa tolak ansur, maka bahasa Inggeris, Cina dan lain-lain itu penting dan beri manfaat kepada kita.”

Bukti kenyataan: https://www.malaysiakini.com/news/480787

Oleh itu, pengundi di Kuala Kubu Baharu mesti berwaspada dengan kata-kata yang berputar-belik para pemimpin PAS dan PN yang kononnya mahu menjaga kepentingan mereka semata-mata untuk mendapatkan undi mereka dalam pilihan raya kecil ini.

YB Lee Chean Chung

Ahli Parlimen Petaling Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up