Carian
April 28, 2023

Pendirian Rumah Terbuka PMX Dedah Perbezaan Dalaman PAS Makin Ketara

Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin yang membantah rumah terbuka anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri sebagai satu tanda tidak konsisten pendirian sesama pimpinan PAS.

Sebelum ini diumumkan bahawa Menteri Besar Kelantan PAS Ahmad Yaakob dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar PAS mengalu-alukan penganjuran majlis tersebut. Kemudian dikatakan Menteri Besar Kedah PAS Muhammad Sanusi dan Takiyuddin sebagai Ahli Parlimen PAS tidak bersetuju. 

Mengapakah PAS Terengganu dan Kelantan setuju tapi PAS Kedah dan PAS Pusat tolak? Bukankah ada saluran komunikasi dalaman parti untuk menyelesaikan perbezaan pendapat? Adakah pendirian bercanggah daripada parti yang sama telah mendedahkan perbedaan dalaman PAS menjadi semakin ketara? 

Saya juga mengkritik sikap beberapa pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mempolitikkan segala isu termasuk Hari Terbuka Raya Aidilfitri. Ini menunjukkan terdapat puak-puak yang terlalu dahagakan kuasa sehingga takut kepada bayangan sendiri. 

Perlu diperingatkan bahawa rumah terbuka kerajaan perpaduan sebenarnya merupakan satu majlis rasmi untuk meraikan Aidilfitri bersama rakyat. Pimpinan kerajaan negeri turut dijemput untuk bersama. Rumah terbuka Aidilfitri di Malaysia juga biasa diraikan dan dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum sebagai satu tanda perpaduan dan muhibbah. 

Parti politik yang bertanggungjawab seharusnya menurunkan suhu politik-berpolitik dan tumpu kepada isu kehidupan rakyat dan ekonomi. Saya merayu agar rakan-rakan biarpun daripada kerajaan ataupun pembangkang supaya menjadikan kita insan yang berjaya pada bulan yang penuh kebahagian ini.

Lee Chean Chung

Pengarah Komunikasi Pusat KEADILAN

Ahli Parlimen Petaling Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up