Wanita KEADILAN Pulau Pinang amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS melalui Ketua Dewan Ulama Pusat parti tersebut apabila sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek yang memutuskan untuk kantin sekolah kekal beroperasi sepanjang bulan Ramadan sebagai sebuah tindakan yang keterlaluan,tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.
Menerusi laporan oleh Malaysia Kini yang diterbitkan pada 12 Mac 2024, Datuk Ahmad Yahya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata Dewan Ulama PAS Pusat melihat YB Fadhlina bertindak gopoh dalam mengeluarkan arahan tersebut. Di bulan yang mulia ini, Wanita KEADILAN Pulau Pinang percaya bahawa tidak seharusnya kita sebagai sesama umat Islam bertelagah dan menimbulkan isu yang tidak sepatutnya dipolitikkan.
Kami percaya tindakan untuk kantin sekolah kekal beroperasi merupakan sebuah tindakan yang tepat kerana ia bukan sahaja mampu mengajar para pelajar untuk bertoleransi, malah mampu mendidik pelajar yang beragama Islam supaya memahami erti puasa yang sebenar di samping meringankan beban kaum ibu untuk menyiapkan bekalan makanan untuk anak-anak di waktu pagi.Mungkin Datuk Ahmad Yahya dan rakan seperjuangannya kurang peka bahawa tidak semua kaum ibu sempat untuk menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa oleh anak-anak di waktu pagi disamping tanggungjawab dan kewajipan lain yang dipikul oleh wanita di masa kini.
Tidak mungkin kita tergamak membiarkan pelajar-pelajar ini berlapar sekiranya kantin sekolah tidak dibuka bukan? Islam merupakan agama yang indah, mengajarkan kita untuk bertoleransi dan mengambil berat tentang kekangan yang dihadapi oleh semua orang termasuk masyarakat yang bukan Islam. Datuk Ahmad Yahya perlu sedar, keputusan yang diambil oleh YB Fadhlina Sidek ini adalah sebagai seorang Menteri yang menjaga hal ehwal sekolah dan pendidikan di seluruh negara, dan tidak terhad kepada satu-satu lokaliti semata-mata.
Hakikatnya di sini, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Ahmad Yahya sebenarnya yang menimbulkan polemik di bulan suci ini, sedangkan keputusan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan telah melalui proses perbincangan yang mendalam demi pendidikan anak-anak di negara ini. Dengan itu, Wanita KEADILAN Pulau Pinang menyeru semua pihak terutamanya ahli-ahli PAS supaya sama-sama kita berlumba-lumba beramal di bulan Ramadan berbanding saling menjatuhkan demi kepentingan politik.
Allah SWT berfirman melalui Surah Al-Ahzab : ayat 58 yang bermaksud: “Dan orang-
orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-
orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat
dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah
memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”
.Dengan itu, Wanita KEADILAN Pulau Pinang ingin mengucapkan selamat menyambut
bulan Ramadan dan selamat beribadah kepada semua. Sekian, terima kasih.
NURHIDAYAH CHE ROSE
Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang