Carian
July 30, 2021

AMK Lapor Polis Terhadap Pemimpin PN Tidak Hormat Titah Agong

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia telah membuat laporan Polis terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun atas penderhakaan kepada Yang DiPertuan Agong serta mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan Ordinan Darurat.

Pada 26 Julai lalu Takiyuddin telah memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kabinet kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai 2021. Walau bagaimanapun semalam pihak Istana Negara dalam satu kenyataan mendakwa pembatalan itu tidak dimaklumkan kepada Istana dan Yang DiPertuan Agong menzahirkan rasa dukacita atas tindakan tidak bertanggungjawab pihak kerajaan.

Dalam erti kata lain Yang DiPertuan Agong 'murka' atas tindakan pihak kerajaan yang membelakangi Istana. AMK menjunjung tinggi prinsip Perlembagaan negara dan oleh kerana itu AMK mengambil keputusan untuk membuat laporan Polis di seluruh negara sejak semalam.

Antara AMK Negeri yang telah membuat laporan Polis semalam adalah Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah. Selain itu, AMK Sarawak, Terengganu, Kedah dan Wilayah Persekutuan akan membuat laporan Polis pada hari ini.

AMK mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin, YB Takiyuddin Hassan dan Tan Sri Idrus Harun atas perbuatan derhaka mereka terhadap titah Yang Di-Pertuan Agong serta melakukan pembohongan secara jelas.

Kami juga meminta pihak polis untuk nyatakan berapa laporan Polis telah diterima berkenaan isu penderhakaan dan pembohongan kerajaan ini serta bilakah siasatan akan dilakukan terhadap ketiga-tiga individu berkenaan.

Kita inginkan siasatan telus dari pihak Polis tanpa tunduk kepada pihak kerajaan kerana rakyat menjadi saksi penderhakaan kerajaan Perikatan Nasional.

Sekian.
SYUKRI RAZAB
Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up