KENYATAAN MEDIA
28 Jun 2020
KUKUHKAN KERJASAMA PAKATAN HARAPAN, BERSIAP SEDIA SEBARANG KEMUNGKINAN PRU15 DIPERCEPAT
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini dan telah membincangkan beberapa perkara termasuk pendirian parti dalam isu calon Perdana Menteri, mandat rakyat dan persediaan bagi Pilihanraya Umum ke-15.
Walaupun KEADILAN telah menyatakan pendirian dalam isu calon Perdana Menteri sebelum ini, KEADILAN sedia untuk berbincang namun sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan. Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh.
KEADILAN juga kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera, dan dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MPP berpendirian bahawa kerjasama di antara parti-parti Pakatan Harapan mesti diperkukuh. Pada masa yang sama, kami mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti-parti di dalam Pakatan Harapan, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap KEADILAN sebelum ini.
KEADILAN dan Pakatan Harapan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihanraya Umum ke-15 lebih awal dari 2023.
YB DS Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN