KENYATAAN MEDIA
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN JANGAN GUNAKAN DARURAT UNTUK SELAMATKAN KARIER POLITIK
1. KEADILAN terkejut dengan laporan berita mesyuarat khas kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pagi semalam yang telah mencadangkan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pentadbiran ke seluruh negara.
2. Kali terakhir darurat di seluruh negara berlaku adalah selepas peristiwa rusuhan berdarah 13 Mei 1969. Tujuan khusus darurat ketika itu adalah untuk mententeramkan rakyat yang tidak lagi dapat dikawal secara biasa oleh pihak polis lalu memerlukan campurtangan pihak tentera.
3. Namun darurat pentadbiran yang dicadangkan oleh kabinet PN semalam adalah amat aneh kerana ia mahu dilaksanakan ketika negara berada dalam keadaan aman. KEADILAN berpendapat alasan untuk memerangi Covid-19 tidak boleh digunapakai untuk mewajarkan darurat. Tambahan lagi, negara-negara yang mengalami kes aktif yang lebih tinggi akibat virus Covid 19 masih mampu menangani wabak itu tanpa mengenakan perintah darurat.
4. Darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul yang dijadualkan pada persidangan bermula 2 November 2020 ini tidak akan berlaku, ini termasuklah usul ‘Undi Tidak Percaya’ yang perlu dihadapi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Bahkan sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baru boleh dilantik.
5. Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian untuk meluluskan apa jua usul di Parlimen? KEADILAN menentang sikap bacul pentadbiran Muhyiddin ini yang menggunakan darurat bagi mengelakkan kerajaan PN tumbang secara sah dan demokratik.
6. Keterujaan PN untuk melaksanakan perintah darurat juga akan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia yang dianggap tidak stabil dan bakal merugikan pelaburan mereka. Dengan itu ekonomi Malaysia yang kuncup - 17% pada suku kedua KDNK dijangka akan meleset dan seterusnya menyebabkan pembuangan pekerjaan pada skala besar- besaran apabila industri muflis atau mengecilkan operasi.
7. KEADILAN menegaskan Kerajaan PN tidak wajar memperjudikan ekonomi 32 juta rakyat Malaysia hanya kerana PN takut akan kehilangan kuasa. Bukankah Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi telah pun mengisytiharkan sokongan Umno kepada PN. Mengapakah PM Muhyiddin begitu takut dengan Anwar Ibrahim walaupun setelah memperolehi sokongan parti Umno dalam kerajaan?
8. KEADILAN berpendapat wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan SOP yang ketat disamping akta-akta sedia ada. Pemerintahan darurat tidak akan menjadikan pentadbiran Malaysia lebih baik sebaliknya hanya akan menjadikan Malaysia setaraf negara Afrika yang bergolak dan ditadbir oleh seorang diktator. Sesungguhnya nagara kita Malaysia tidak perlukan darurat hanya kerana karier politik Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN yang berada dalam keadaan genting, meruncing lagi darurat!
DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya
24 Oktober 2020